Istilah ‘digital nomad’ adalah merujuk kepada individu yang menggunakan kemudahan teknologi digital untuk bekerja sambil melancong secara jarak jauh di seluruh dunia.
Individu digital nomad melakukan kerjaya profesional secara bebas dan mudah alih tanpa perlu ke pejabat dan mereka bekerja di mana saja lokasi di serata dunia asalkan tempat yang didiami mempunyai sambungan internet yang baik.
Kebiasaannya mereka ini terdiri daripada pekerja gig, bekerja sendiri dan juga sesetengah daripada mereka bekerja dengan syarikat yang membenarkan bekerja secara jarak jauh.
Minggu ini CitaRasa kongsikan lima negara terbaik bagi digital nomad sebagaimana yang dilaporkan Rumavi daripada 192 buah negara yang dinilai berdasarkan aspek digital nomad seperti akses visa, keselamatan, peraturan cukai, kos kehidupan, infrastruktur digital dan kualiti kehidupan sepenuhnya.
1) Malaysia (79.1%)

Di kedudukan pertama ialah Malaysia. Negara ini ada banyak kelebihan yang menjadikan ia juara. Berdasarkan beach.com, mereka yang bekerja secara remote atau jarak jauh boleh mendapatkan Digital Nomad Pass (DE Rantau) yang menyediakan kebenaran yang sah untuk tinggal dan bekerja di Malaysia sehingga satu tahun (tertakluk syarat-syarat).
Malaysia juga raih skor tinggi bagi ‘general affordability’ iaitu 97.8. Berbanding negara-negara Barat, perbelanjaan harian seperti pengangkutan tempatan dan makanan boleh didapati dengan kadar lebih murah dan berpatutan. Malaysia juga mempunyai infrastruktur digital yang baik dengan skor 80. Ruang kerja yang moden, liputan 5G, jalur lebar pantas boleh didapati di kebanyakan tempat. Komunikasi juga tidak menjadi masalah kerana bahasa Inggeris digunakan secara meluas bahkan ramai fasih.
Cuaca panas sepanjang tahun juga memungkinkan golongan digital nomad menikmati keindahan negara itu yang kaya dengan pantai dan tempat-tempat menarik untuk diterokai.
2) Portugal (77.0%)

Kedua ialah Portugal. Portugal menawarkan Visa Digital Nomad yang membolehkan warga negara bukan Eropah bekerja secara jarak jauh di negara itu selama satu tahun bagi Temporary Visa atau empat bulan permulaan sebelum dilanjut dua tahun bagi Residency Visa (tertakluk syarat-syarat).
Lain-lain kelebihan Portugal ialah Portugal tax number (NIF) dan sesuai didiami kerana mempunyai rekod jenayah yang bersih dan insurans kesihatan meliputi 30,000 euro (RM140,000).
3) Thailand (75.4%)

Tempat ketiga ialah Thailand yang merupakan jiran Malaysia. Thailand menawarkan pilihan tinggal lebih lama menerusi Destination Thailand Visa (DTV) yang membolehkan pekerja jarak jauh tinggal sehingga lima tahun.
Thailand juga tidak kalah dari segi keindahan pantai dan tempat-tempat diterokai sambil bekerja, tetapi komunikasi mungkin jadi kekangan kerana bahasa Inggeris tidak digunakan secara meluas. Malaysia menawarkan jalur lebar lebih stabil serta bandar moden bersih dengan pengangkutan awam lebih berkesinambungan berbanding Thailand.
4) Georgia (75.1%)
Tempat keempat ialah Georgia yang mungkin mengejutkan. Kelebihannya ialah pada tinggal tanpa visa atau visa-free stay sehingga setahun bagi lebih 90 buah negara. Freelancers atau pekerja jarak jauh boleh mendaftar sebagai Individual Entrepreneurs dengan sistem cukai mesra bisnes.
Berbanding negara-negara Eropah lain, Georgia menawarkan kos hidup yang lebih rendah dengan bandar-badar seperti Tbilisi dan Batumi sediakan internet berkelajuan tinggi.
5) Taiwan (73.9%)

Kelima ialah Taiwan yang sesuai didiami kerana menawarkan penjagaan kesihatan yang cemerlang dan jalur lebar terpantas di muka bumi serta kemudahan-kemudahan mesra kehidupan bersendirian. Taiwan menawarkan visa digital nomad yang menarik yang membenarkan untuk tinggal sehingga dua tahun.
Sekadar makluman kedudukan negara-negara Asia lain antaranya Emeriyah Arab Bersatu (ketujuh), Jepun (15), Indonesia (23), Filipina (39) dan Singapura (41).














