SHANKAR yang dinobatkan sebagai Tokoh Siswa Negara 2025 ialah seorang berdarah kacukan Cina dan India.

Semangat merdeka Shankar siswa ‘chindian’ inspirasi anak muda Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERGELAR Tokoh Siswa Negara 2025 bukan sekadar meletakkan nama Ng Zhen Fan Shankar, 27, dalam senarai mahasiswa cemerlang, sebaliknya membuka lembaran baharu tentang makna kepimpinan anak muda dalam sebuah negara yang dibina atas kepelbagaian.

Lebih membanggakan, kejayaan graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu hadir ketika Malaysia melangkah ke usia 69 tahun kemerdekaan.

Ini sekali gus menjadikan pencapaiannya sebagai cerminan generasi muda yang membesar dalam acuan masyarakat majmuk. Memiliki darah campuran Cina dan India, anak muda mesra disapa sebagai Shankar itu dibesarkan di Klang, Selangor sebagai anak sulung dengan kembar tidak seiras dalam sebuah keluarga yang menjadikan perbezaan budaya sebagai kekuatan.

Bapanya berketurunan Cina, manakala ibunya pula berketurunan India.

Di rumah, empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian Shankar sejak kecil.

Daripada keluarga itulah, Shankar belajar bahawa kepelbagaian bukan alasan untuk hidup berjauhan, sebaliknya ruang mengenali, menghormati dan memahami antara satu sama lain.

“Perbezaan bukan tembok pemisah. Ia menjadi jambatan memahami manusia.

“Kita berbeza, tetapi tetap mampu berdiri bersama sebagai rakyat Malaysia.

“Bagi saya, itulah antara perkara paling indah tentang negara ini,” katanya tatkala membuka bicara bersama K-Kampus.

SHANKAR pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negeri Muda Selangor sekali gus berpeluang menyelami isu anak muda.

Semangat tersebut kemudiannya diterjemahkan Shankar melalui perjalanan akademik dan kepimpinan yang cukup panjang sehingga membawanya bergelar Tokoh Siswa Negara 2025, anugerah berprestij anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Pada edisi kesembilan anugerah itu yang berlangsung Oktober tahun lalu, pihak KPT menerima 246 penyertaan daripada institusi pengajian tinggi seluruh negara, sebelum 75 calon terbaik mara ke peringkat akhir. Shankar akhirnya muncul sebagai penerima utama, sekali gus membawa pulang trofi, sijil, wang tunai RM5,000, geran mobiliti akademik dan tawaran biasiswa.

Namun, pengiktirafan itu bukan hadir secara tiba-tiba. Di UPSI, Shankar sudah lama membina reputasi sebagai mahasiswa yang aktif dalam akademik, kepimpinan, kesukarelawanan dan pembangunan komuniti.

Shankar yang bakal menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Sains Perakaunan dan Kewangan di University of Leeds, United Kingdom pada November ini pernah terbabit dalam 517 program. Ketika itu, dia memegang pelbagai peranan termasuk pengarah, jawatankuasa, ketua unit serta penggerak inisiatif di universiti.

Setiap penglibatan memberi pengalaman berbeza kepada Shankar, daripada mengurus manusia dan sumber sehinggalah menyelesaikan konflik serta membuat keputusan ketika berdepan tekanan.

Penglibatan Shankar tidak terhenti di peringkat kampus kerana dia turut melangkah ke pentas kebangsaan dan antarabangsa, sekali gus memperluas perspektifnya terhadap peranan generasi muda dalam pembangunan negara.

Pada tahun lalu, Shankar telah dilantik sebagai Ahli Dewan Negeri Muda Selangor bagi membolehkannya memahami isu belia dari sudut pandang yang lebih luas.

Menerusi platform itu, Shankar semakin memahami bahawa suara anak muda perlu hadir bersama pengetahuan, fakta dan cadangan penyelesaian yang mampu dilaksanakan.

“Anak muda perlu berani bersuara. Namun, keberanian mesti disertai ilmu dan fakta.

“Kita tidak boleh hanya pandai menyatakan masalah. Kita juga perlu bersedia mencari penyelesaian,” katanya.

SHANKAR baru sahaja bergraduasi dan kini membuat persiapan untuk menyambung pengajian peringkat sarjana di United Kingdom.

Di sebalik deretan kejayaan itu, perjalanan Shankar sebagai mahasiswa bukan sentiasa mudah kerana ada ketikanya dia berdepan keletihan, tekanan akademik, tuntutan organisasi dan kritikan.

Ada juga detik Shankar hampir berputus asa apabila tuntutan yang dipikul terasa terlalu berat untuk ditanggung.

Namun, sokongan keluarga menjadi antara kekuatan terbesar yang membuatkan dirinya terus melangkah, walaupun berdepan pelbagai cabaran.

“Saya pernah hampir berputus asa. Namun, sokongan keluarga menguatkan saya.

“Saya percaya, setiap cabaran merupakan proses membentuk ketahanan diri. Apa yang penting, jangan berhenti hanya kerana perjalanan itu menjadi sukar,” ujarnya.

Bagi memastikan akademik tidak terabai, Shankar berpegang kepada tiga prinsip utama iaitu keutamaan, perancangan dan disiplin.

Dia percaya, mahasiswa aktif tidak semestinya perlu menjadi individu paling sibuk kerana yang lebih penting adalah kebijaksanaan memilih peluang, memahami kemampuan diri dan menyelesaikan setiap amanah.

Bagi Shankar, motivasi tidak dianggap sebagai satu-satunya pembakar semangat kerana konsistensi jauh lebih penting untuk memastikan seseorang terus bergerak ketika semangat mula menurun.

Prinsip hidup yang dipegangnya cukup sederhana tetapi sarat makna tentang bagaimana kejayaan sepatutnya diukur.

“Perjalanan ini bukan tentang sejauh mana kita pergi, tetapi sebesar mana impak yang kita tinggalkan kepada manusia sekeliling.

“Ilmu akan meninggikan darjat, tetapi adab memuliakan insan. Pencapaian tidak bermakna tanpa nilai dan tanggungjawab terhadap manusia,” katanya.

SHANKAR (depan) aktif dalam pelbagai aktiviti di luar kampus termasuk menyertai Sambutan Hari Kemerdekaan..

Ditanya mengenai tawaran melanjutkan pengajian di United Kingdom selama 12 bulan secara sepenuh masa, dia memaklumkan, peluang tersebut bukan sekadar untuk mengejar kelayakan akademik lebih tinggi, sebaliknya menjadi ruang kepadanya membawa identiti Malaysia ke pentas antarabangsa.

Shankar mahu menggunakan pengalaman itu untuk memperluas jaringan, memahami perspektif baharu serta mengembangkan pengetahuan dalam bidang perakaunan dan kewangan.

“Jika diberikan peluang, kita harus membalasnya dengan tanggungjawab. Kepercayaan adalah amanah yang perlu dijaga.

“Saya mahu menggunakan setiap peluang untuk belajar, berkembang dan kembali memberi sesuatu kepada masyarakat kelak,” katanya.

Selepas menamatkan pengajian sarjana, Shankar menyimpan impian untuk bergelar pensyarah yang bukan sahaja menyampaikan teori, malah mampu menghubungkan ilmu akademik dengan realiti pekerjaan dan keperluan mahasiswa.

Cita-cita itu turut didorong keinginannya untuk membantu generasi baharu memahami bahawa kejayaan akademik tidak seharusnya terpisah daripada nilai, kepimpinan dan tanggungjawab sosial.

Di luar dunia akademik dan kepimpinan, dia juga gemar menyanyi, memasak dan melancong. Sisi peribadi itu memperlihatkan kehidupannya tidak hanya berputar pada pencapaian serta tanggungjawab.

Sementara itu, Shankar berkata, pengalaman sebagai anak keluarga berbilang kaum menjadi sebahagian daripada identiti yang akan terus dibawa ke mana sahaja dia melangkah selepas ini.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69 hari ini, dia hadir membuktikan bahawa semangat merdeka tidak hanya berkisar tentang sejarah perjuangan terdahulu.

Baginya, semangat merdeka bukan sekadar berkibarnya Jalur Gemilang atau laungan keramat setiap kali tibanya bulan Ogos.

“Kemerdekaan yang sebenar bermula dalam diri apabila kita sedar bahawa kebebasan yang diwariskan kepada kita datang bersama amanah untuk menjaga negara ini.

“Merdeka bermakna kita bebas untuk bermimpi, bebas untuk belajar, bebas untuk bersuara dengan penuh tanggungjawab dan bebas untuk menjadi siapa sahaja yang kita mahu tanpa dibatasi perbezaan bangsa, agama, bahasa mahupun latar belakang.

“Namun, kebebasan itu tidak seharusnya menjadikan kita lupa kepada akar sejarah dan pengorbanan yang membentuk Malaysia pada hari ini.

“Bagi saya, semangat merdeka sebenar apabila kita mampu melihat Malaysia sebagai rumah yang dikongsi bersama.

“Kita mungkin berbeza bahasa yang dituturkan, budaya diamalkan dan perayaan diraikan, tetapi perbezaan itulah yang menjadikan Malaysia cukup istimewa.

“Kemerdekaan mengajar kita bahawa untuk menjadi seorang rakyat Malaysia, kita tidak perlu menghapuskan identiti masing-masing. Sebaliknya, kita perlu belajar menghormati identiti orang lain,” katanya sebelum mengakhiri bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di