RONALDO muncul wira meledak gol kemenangan Al-Nassr ketika membenam cabaran Al-Taawoun. - AFP

Ronaldo hampiri impian besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RIYADH – Cristiano Ronaldo semakin hampir mencipta sejarah baharu bola sepak apabila hanya memerlukan 22 gol lagi untuk mencapai 1,000 jaringan dalam karier senior, satu pencapaian yang belum pernah dicatat secara rasmi dalam aksi kompetitif.

Bintang Portugal itu kini sudah mengumpul 978 gol, selepas meledak gol kemenangan ketika Al-Nassr bangkit menewaskan Al-Taawoun 2-1 dalam saingan Liga Pro Arab Saudi, kelmarin.

Lebih istimewa, jaringan berkenaan merupakan gol liga ke-104 Ronaldo bersama Al-Nassr dalam 110 penampilan, sekali gus mengatasi rekod sepanjang zaman yang sebelum ini dicatat legenda kelab, Mohammed Al-Sahlawi dengan 103 gol.

Ronaldo menganggap tanpa bantuan rakan-rakan sepasukan, sukar untuk terus konsisten bersama skuad kendalian Ange Postecoglou itu.

“Saya sangat gembira. Ini satu pencapaian yang hebat (menjadi penjaring terbanyak Al-Nassr), tetapi ia bukan hanya pencapaian Cristiano.

“Saya perlu mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan kerana tanpa mereka, semua ini tidak mungkin berlaku.

“Saya juga sangat menghargai penyokong kami. Mereka sentiasa berada di belakang saya dan saya sangat bangga dengan sokongan itu. Terima kasih,” katanya.

Sebagai rekod, Ronaldo turut sudah mencipta rekod sebagai penjaring terbanyak antarabangsa dengan 143 gol dalam 225 penampilan bersama Portugal.

Ronaldo kini mempunyai peluang untuk terus mengurangkan jurang 22 gol itu ketika Al-Nassr berdepan seterus tradisi, Al-Ittihad pada 5 September depan. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di