Di Malaysia, kuasa pengampunan terserah kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. - GAMBAR HIASAN

Pengampunan hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM kes-kes jenayah di Malaysia, pengampunan adalah hak prerogatif atau kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong atau Sultan dan Raja sesebuah negeri yang termaktub di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan

Di negara ini, kuasa pengampunan terserah kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan juga ketua negeri masing-masing.

Di bawah peruntukan Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong memiliki kuasa untuk mengampun, menunda dan melegakan hukuman.

Ia yang mana bagi kesalahan yang dibicarakan oleh mahkamah tentera dan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya manakala Raja atau Yang Dipertua Negeri memiliki kuasa sama bagi kesalahan yang dilakukan di negerinya.

Pada ketika ini, isu pengampunan kembali menjadi buah mulut apabila ia membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagi peguam Muhammad Amin Abdullah, sebagai pengamal undang-undang isu pengampunan bukan suatu yang luar biasa kerana pada setiap tahun banyak pesalah-pesalah yang telah menerima pengampunan diraja di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Sebelum bekas Perdana Menteri keenam itu menerima pengampunan bersyarat itu, seramai 65 banduan turut menerima pengampunan dan dibebaskan, manakala banduan bukan warganegara diusir pulang ke negara asal,” kata peguam itu.

Mengulas lanjut, peguam itu berkata, hal ini menunjukkan bahawa kuasa pengampunan ini bukanlah diguna pakai terhadap individu-individu tertentu semata-mata malah terpakai kepada kesemua banduan.

Ujar beliau, kuasa pengampunan berdasarkan Yang di-Pertuan Agong atas syor dari Lembaga Pengampunan, layak menerima pengampunan.

Sementara itu, mengikut Perkara 42 (3) menyatakan jika sesuatu kesalahan dilakukan secara keseluruhan atau sebahagian di luar Persekutuan atau di lebih daripada satu negeri atau dalam keadaan yang boleh menimbulkan keraguan di mana kesalahan itu dilakukan maka ia hendaklah dikira telah dilakukan di negeri tempat kesalahan itu dibicarakan.

Selain Perkara 42 (1), Perkara 42 (5) menyatakan Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bagi setiap negeri hendaklah terdiri daripada Peguam Negara, Ketua Menteri dan tidak lebih tiga anggota lain yang dilantik oleh Raja atau Yang Dipertua Negeri.

Dalam pada itu, untuk Perkara 42 (8) menyatakan Lembaga Pengampunan hendaklah bermesyuarat dengan kehadiran Raja atau Yang Dipertua Negeri dan Raja atau Yang Dipertua Negeri hendaklah mempengerusikan mesyuarat itu.

Pada 18 September lalu, media melaporkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.

Bagaimanapun, perintah tahanan rumah itu tertakluk sekiranya Najib membayar denda RM50 juta.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan perintah itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di