LONDON – Pengurusan Tottenham Hotspur enggan menekan butang panik apabila masih memberi kepercayaan kepada Roberto De Zerbi walaupun gagal menghadiahkan kemenangan buat pasukan dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Sebagai rekod, Spurs hanya mengutip dua keputusan seri dan tewas tiga kali sekali gus menyaksikan pasukan kekal berada di tangga tercorot selepas mengharungi lima perlawanan.
Situasi itu mula menimbulkan kebimbangan dalam kem Spurs dengan kedudukan De Zerbi dilaporkan tidak selamat selepas berbelanja lebih £300 juta (RM1.6 bilion) pada jendela perpindahan lepas.
Bagaimanapun, bekas pencari bakat Tottenham, Mick Brown mendakwa sumber daripada pihak pengurusan menegaskan masih tiada perancangan untuk memecat De Zerbi dalam masa terdekat.
Menurut Brown, pelaburan besar itu menunjukkan Tottenham masih percaya De Zerbi mampu mengeluarkan potensi terbaik sekali gus wajar diberikan masa.
“Spurs sudah membuat keputusan mengenai De Zerbi (untuk kekal). Mereka memberi dana kewangan kepadanya dengan harapan dia mampu menghasilkan prestasi terbaik buat pasukan.
“Saya tidak nampak mereka akan berpatah balik walaupun pasukan permulaan musim sangat buruk dan akan kekal memberi sokongan buat sementara waktu.
“Mungkin mereka perlu melihat secara dalaman beberapa perkara yang boleh dirombak untuk membantu pengurus, tetapi buat masa ini mereka masih percaya De Zerbi adalah individu yang mampu mengubah nasib pasukan,” katanya. – AGENSI














