Antara darurat dan kayuh basikal

Menggunakan basikal untuk jarak perjalanan dekat antara cadangan yang dikemukakan untuk menangani impak kenaikan harga minyak. Foto hiasan
Menggunakan basikal untuk jarak perjalanan dekat antara cadangan yang dikemukakan untuk menangani impak kenaikan harga minyak. Foto hiasan
A
A
A

MEMANG tidak dinafikan negara kita turut berdepan dengan impak besar daripada krisis tenaga berpunca daripada perang Amerika Syarikat, Israel dengan Iran.

Apabila Iran bertindak menutup Selat Hormuz yang menjadi pintu masuk dan keluar kapal-kapal minyak ke pasaran global, ia mengakibatkan harga bahan bakar tersebut melambung tinggi.

Malah kesan yang paling teruk ialah ada negara yang terputus bekalan sehingga terpaksa mengambil tindakan mencatu minyak.

Mereka juga terpaksa mengambil beberapa langkah tambahan mengurangkan penggunaan produk petroleum itu dengan mengurangkan waktu bekerja dan bekerja dari rumah.

Selain itu, baja yang juga hasil daripada produk petroleum yang banyak di eksport oleh negara-negara di Asia Barat turut terjejas dan bakal beri kesan besar kepada pengeluaran pertanian.

Di Malaysia pula kita tidak dapat elak untuk menaikkan harga minyak petrol dan diesel, namun kerajaan masih memberikan subsidi yang besar kepada rakyat.

Namun, kebimbangan utama ialah jika perang tersebut berpanjangan dan Selat Hormuz terus ditutup, seluruh dunia akan terjerumus dalam masalah yang lebih serius.

Jadi disebabkan itu kita dapat faham ada banyak pihak yang memberikan pelbagai idea dan cadangan untuk menyelamatkan negara serta memelihara kepentingan rakyat.

Antara yang memberikan cadangan ialah Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dengan mengemukakan tujuh idea sebagai langkah untuk menangani impak kenaikan harga minyak.

Artikel Berkaitan:

Kesemua idea yang beliau kemukakan bagus dan boleh dilaksanakan, namun satu daripada cadangan telah menimbulkan kontroversi iaitu menggunakan basikal ke tempat kerja untuk jarak perjalanan dekat.

Kalau di Jepun atau Britain, basikal memang digunakan secara meluas kerana tiada kos dan ada kebaikan dari segi kesihatan serta bagus untuk alam sekitar.

Tetapi idea naik basikal mendapat cemuhan banyak orang di media sosial, sementara idea-idea lain yang baik beliau kemukakan terus tenggelam.

Satu daripadanya ialah penggunaan minyak biodiesel dan baru-baru ini Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan mengumumkan penggunaan bahan api alternatif tersebut secara rasmi.

Kemudian timbul pula cadangan baru yang lebih kontroversi oleh Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang juga Pengerusi DAP negeri Melaka.

Beliau mencadangkan supaya Kerajaan Melaka mengemukakan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mengisytiharkan darurat.

Cadangan itu dikemukakan bagi menangguhkan pilihan raya negeri berikutan tekanan kos sara hidup yang meningkat susulan krisis bahan api.

Maka bergegarlah seluruh negara yang dengan lantang mengkritik cadangan Poay Tiong termasuk Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh sehingga mengatakan ia adalah kenyataan yang bodoh.

Ramai berpandangan cadangan Poay Tiong memang tidak sesuai untuk dilaksanakan pada masa ini kerana pendekatan itu berbeza ketika pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia.

Darurat diisytiharkan di Malaysia kerana ia mengancam nyawa manusia, tetapi situasi melanda kita sekarang yang mengancam rakyat ialah kedudukan materialistik sahaja akan terjejas.

Ada berpendapat Poay Tiong tidak sepatutnya menggunakan alasan krisis tenaga ini semata-mata mahu meraih keuntungan politik.

Ada yang mengingatkan beliau, ketika darurat dilaksanakan, pembangkang begitu kuat menekan kerajaan pada masa itu supaya tidak menyekat kebebasan rakyat dan mahu Parlimen bersidang seperti biasa.

Tetapi nampaknya idea yang sama dikemukakan dengan alasan untuk menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat.

Pengajarannya ialah sebelum memberikan sebarang pandangan atau cadangan perlulah berfikir dahulu kerana kita tidak mahu seperti meludah ke langit dan akhirnya jatuh terpercik ke muka sendiri.

*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!