61 kesan tikaman ditemui pada mayat wanita, rantai berukir ‘SYAA’ di leher mangsa

KOTA BHARU �� Sebanyak 61 kesan tikaman ditemui pada tubuh seorang wanita yang mayatnya ditemukan di Kampung Kubang Getah, Ketereh di sini pada tengah malam, Jumaat
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, identiti mangsa berusia 19 tahun dikenali 'Syaa' itu juga dapat dikenal pasti melalui semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
“Pemeriksaan pasukan forensik dan bedah siasat mendapati terdapat 61 kesan tikaman pada tubuh mangsa.
“Kesan bermula dari bahagian muka hingga ke kaki dengan kebanyakan kecederaan tertumpu di bahagian kanan badan,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Jumaat.
Sebelum itu, mayat mangsa ditemui terbaring di atas jalan di kawasan kiri dan kanan sawah padi oleh penduduk yang kebetulan melalui lokasi berkenaan serta awalnya disangkakan mangsa kemalangan jalan raya.
Mohd Yusoff berkata, siasatan turut mendapati mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan berkenaan.
Katanya, polis menerima maklumat berhubung penemuan mayat wanita itu pada jam 12.30 pagi hasil panggilan orang awam.
“Hasil pemerhatian di lokasi mendapati mangsa memakai rantai leher berukir nama ‘SYAA’, seutas rantai tangan di pergelangan kiri serta cincin di jari tengah tangan kanan.
“Mangsa juga memakai baju lengan panjang warna hitam bertulis ‘UNIQLO Made in Cambodia’ saiz XL dan seluar panjang hitam tanpa jenama saiz XXL,” katanya.
Tambah beliau, beberapa barangan lain turut ditemui di lokasi termasuk manik berwarna-warni, cermin mata dan selendang namun tiada dokumen pengenalan diri dijumpai.
Menurutnya, Unit K9 digerakkan bagi membantu siasatan di sekitar lokasi dalam radius kira-kira 30 meter.
“Lokasi kejadian merupakan kawasan sawah padi yang gelap tanpa pencahayaan lampu jalan dan terletak kira-kira 47 meter dari rumah penduduk terdekat,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa menjalani bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II.
“Kes diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Asisten Superintendan Ganesan di talian 012-5691204.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

