Pemandu lelaki langgar 12 kenderaan diburu polis

GEORGE TOWN - Polis sedang mengesan pemandu kereta yang melanggar 12 kenderaan lain ketika dikejar kereta peronda sejauh kira-kira 20 kilometer sebelum berjaya meloloskan diri dalam kejadian di sini pada Khamis.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, kejadian yang tular di media sosial itu bermula apabila polis mengesan sebuah kereta di Green Lane dalam keadaan mencurigakan dan mengarahkan ia berhenti untuk diperiksa, namun pemandunya terus memecut laju menghala Persiaran Gurney.
"MPV polis terus mengejar kereta yang dipandu seorang lelaki, namun suspek berjaya meloloskan diri selepas dikejar sejauh kira-kira 20 kilometer. Ketika ini usaha mengesan pemandu kereta tersebut giat dijalankan.
"Setakat ini kami menerima 12 laporan polis daripada individu terlibat yang mendakwa kenderaan mereka dilanggar oleh suspek dan mengalami pelbagai kerosakan," katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 43 saat memaparkan dua MPV polis mengejar sebuah kereta yang dipandu laju sehingga melanggar beberapa kenderaan di Persiaran Gurney.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
