Polis cari pemandu kereta langgar lari peniaga Azmi Goreng Pisang

PUTRAJAYA - Polis giat mengesan pemandu kereta dipercayai terlibat dalam kejadian langgar lari penunggang motosikal yang maut dalam kejadian di Lebuh Saujana di sini pada Khamis.
Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha YZF, Saiful Adli Azmi, 42, atau lebih dikenali sebagai Epul Azmi Goreng Pisang, disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya menerima maklumat kejadian pada kira-kira jam 11.50 malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sebuah kereta mengubah haluan untuk memasuki ke simpang kanan di lokasi kejadian sebelum melanggar mangsa.
"Pelanggaran itu menyebabkan mangsa terjatuh di pembahagi jalan.
"Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Putrajaya bagi mendapatkan rawatan tetapi telah disahkan meninggal dunia oleh pembantu pegawai perubatan dunia semasa dalam perjalanan ke hospital," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengesan pemandu kereta terbabit.
Katanya, polis juga sedang mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan.
"Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Putrajaya di talian 03-88862138 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan jenazah Allahyarham Saiful Adli tiba di Masjid Nahdhah Al-Islam, Seksyen 18, Shah Alam kira-kira jam 2.30 petang, Jumaat.
Jenazah kemudian disembahyangkan di masjid itu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
