'Adik baru balik kolej seminggu selepas cuti semester' - Abang mangsa bunuh

KOTA BHARU – Keluarga kepada mangsa bunuh di Ketereh di sini pada Jumaat masih tergamam dan sukar menerima hakikat kematian tragis menimpa anak gadis itu yang baru sahaja seminggu dihantar pulang bagi menyambung pengajian di sebuah kolej di sini pada Sabtu lepas.
Abang sulung mangsa, Muhammad Faris Zulkifly, 21, berkata, mereka sekeluarga bergegas dari Kuala Kangsar, Perak sebaik dimaklumkan mengenai kejadian menimpa Nurfisya Zulkifly, 19.
Menurutnya, dia menerima panggilan daripada pihak polis yang memaklumkan kejadian pada jam 12.30 tengah hari sebelum bertolak ke Kelantan dan tiba pada jam 8 malam.
“Kami hanya tahu adik sudah meninggal dunia dan tidak tahu secara terperinci.
“Dalam perjalanan di Jeli, baru kami tahu kejadian menimpa adik selepas melihat maklumat yang tersebar di media sosial,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini pada Jumaat.
Akhbar sebelum ini melaporkan, mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya ditinggalkan di atas jalan di kawasan sawah padi dan ditemui oleh penduduk kampung kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Hasil bedah siasat menemukan 61 tikaman pada badan, leher dan muka mangsa.
Muhammad Faris berkata, kali terakhir mereka bertemu ketika anak kedua daripada empat beradik yang menuntut di semester ketiga Kolej Poly-Tech Mara di sini itu pulang bercuti semesta di kampung di Kuala Kangsar, Perak.
“Masa itu tak ada perubahan pun, dia ada cakap nak makan macam-macam antaranya ayam penyet.
“Arwah juga beritahu nak beli sebuah kereta Mini Cooper selepas tamat pengajiannya dalam jurusan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak,” katanya.
Tambahnya, anak tunggal perempuan dalam keluarga itu baru memasuki semester ketiga dan sepatutnya tempoh keseluruhan pengajian adalah tujuh semester.
“Kami harap pelaku dapat ditangkap secepat mungkin dan dikenakan hukuman setimpal,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

