GSF 2.0: 10 rakyat Malaysia ditahan rejim Zionis dibebaskan di Crete - SNCC

Kesemua 10 aktivis GSF 2.0 rakyat Malaysia yang ditahan di perairan antarabangsa berdekatan Kepulauan Crete, Greece telah dibebaskan. Foto fail Bernama
Kesemua 10 aktivis GSF 2.0 rakyat Malaysia yang ditahan di perairan antarabangsa berdekatan Kepulauan Crete, Greece telah dibebaskan. Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesemua 10 aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 rakyat Malaysia yang ditahan di perairan antarabangsa berdekatan Kepulauan Crete, Greece pada Khamis telah dibebaskan di Pelabuhan Lerapetra, Crete.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, mereka antara 175 aktivis kemanusiaan GSF yang dibawa ke Lapangan Terbang Heraklion dengan bas disediakan pihak Greece.

Beliau berkata, SNCC dimaklumkan bahawa Kerajaan Turkiye telah menyediakan sebuah pesawat berkapasiti 160 penumpang bagi membawa pulang 20 aktivis kemanusiaan warganegara itu, selain menawarkan tempat kepada mana-mana aktivis GSF untuk turut menaiki penerbangan berkenaan.

"Pelepasan penerbangan tersebut dari Lapangan Terbang Heraklion dijangka pada 10.15 malam waktu Malaysia dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada 11.45 malam waktu Malaysia,” katanya pada sidang media di sini malam Jumaat.

Beliau mengesahkan, 10 aktivis Malaysia yang telah dibebaskan akan terbang ke Istanbul.

Sani Araby berkata, SNCC turut menerima laporan bahawa aktivis berdepan provokasi dan serangan fizikal selain dipaksa berada dalam keadaan tidak selesa sehingga berlaku insiden keganasan yang mengakibatkan kecederaan kepada beberapa peserta ketika penahanan.

Beliau berkata, dua ahli jawatankuasa induk GSF, Saif Abukeshek dan Thiago Avila masih dalam tahanan pihak rejim, dipercayai bertujuan mengugut dan melumpuhkan misi.

Katanya SNCC telah berhubung dengan Kementerian Luar bagi menyelaras urusan perjalanan aktivis Malaysia dari Greece ke Istanbul.

"Tiga wakil SNCC sudah berada di Istanbul untuk pengurusan dan penilaian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau berkata, keputusan sama ada 10 aktivis Malaysia terlibat akan meneruskan misi atau pulang ke tanah air bergantung kepada status kesihatan dan situasi semasa konsensus SNCC dan GSF.

Pada masa sama, beliau berkata, SNCC menggesa rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa terus memberi tekanan serta mendesak pembebasan Thiago dan Saif yang masih ditahan pihak rejim.

Beliau turut mengajak rakyat Malaysia terus bersuara menyokong pembebasan Gaza dan Palestin, melaksanakan solat hajat serta Qunut Nazilah selain mempergiat penyebaran maklumat sahih dan advokasi di peringkat nasional serta antarabangsa.

Misi GSF 2.0 ialah gabungan maritim antarabangsa dan gerakan mobilisasi global yang komited untuk memecahkan sekatan ke atas Gaza, sebagai tindak balas terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di wilayah berkenaan. - Bernama 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!