Status keselamatan aktivis GSF 2.0 termasuk 10 rakyat Malaysia belum diketahui - SNCC

KAJANG - [DIKEMAS KINI] Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) memaklumkan masih belum menerima pengesahan rasmi berhubung status keselamatan kesemua aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 termasuk 10 rakyat Malaysia yang ditahan pasukan tentera Israel di perairan antarabangsa, Khamis lepas.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, pihaknya sedang meneliti satu maklumat yang menyatakan kesemua aktivis dijangka bebas pada jam 7 pagi waktu Greece (12 tengah hari waktu Malaysia) hari ini di Pelabuhan Ierapetra, Kepulauan Crete.
Bagaimanapun, beliau berkata, status terkini berhubung maklumat itu juga belum dapat disahkan melalui saluran rasmi dan pasukan SNCC di lapangan.
"Memasuki hari ke-19 misi dan 38 jam selepas penahanan aktivis GSF 2.0 oleh rejim Israel di perairan antarabangsa, SNCC belum menerima pengesahan rasmi mengenai status keselamatan kesemua 175 aktivis termasuk 10 rakyat Malaysia.
"Setakat sekarang, sebanyak 21 daripada 22 bot yang kita sahkan, satu dah disabotaj dan mereka terputus hubungan sehinggalah ada kapal yang kita hantar dari Greece untuk tinjau.
"Kita dapati rejim Zionis mungkin melakukan sabotaj sama kepada kapal-kapal yang ditinggalkan, tetapi kita tidak pergi kepada kefahaman bahawa ia disita. Di pelabuhan di Greece setakat ini, baki keseluruhan kapal yang terselamat sedang berlindung di kawasan perairan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas perkembangan terkini misi GSF 2.0 di Wisma Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Bandar Puteri Bangi di sini, Jumaat.
Sebelum ini, SNCC mengesahkan 10 rakyat Malaysia antara peserta yang terputus hubungan pada hari ke-18 misi GSF 2.0.
Sebanyak 22 daripada keseluruhan 63 kapal dilaporkan dipintas pihak berkuasa Israel di perairan Mediterranean berhampiran Kepulauan Crete.
Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 1 pagi hingga 11 pagi waktu Malaysia apabila kapal-kapal yang berada kira-kira 656 batu nautika dari pantai Gaza dihampiri secara agresif oleh Angkatan Pertahanan Israel (IDF).
Rakyat Malaysia yang ditahan terdiri daripada wartawan veteran merangkap aktivis kemanusiaan, Zainal Rashid Ahmad atau ZRA yang menaiki Arkham lll serta Osman Zolkifli dan Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1).
Turut ditahan ialah Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai); Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN); Mohd Redzal Amzah (Freia) serta Muhamad Muhzin Zaidi (Marea).
Mengulas lanjut, Sani Araby memaklumkan, pihaknya telah berhubung dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi jaminan bahawa komitmen berterusan dan maksimum sedang digerakkan bagi membebaskan kesemua tahanan GSF 2.0.
"SNCC juga dimaklumkan bahawa Kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra telah memulakan usaha untuk menghubungi Konsul Kehormat Malaysia di Greece dan sahabat-sahabat negara menerusi diplomasi bagi membantu serta menyelaraskan pembebasan khususnya aktivis Malaysia.
"Saya difahamkan oleh Wisma Putra bahawa pihak konsul dan lain-lain sedang bersedia di pelabuhan sekiranya semua peserta dibebaskan di Greece, itu yang kita harapkan.
"Justeru, SNCC mengajak rakyat Malaysia untuk terus memberikan tekanan dan menzahirkan pendirian bagi memahami isu pencabulan ini selain mendalami kerangka besar penzaliman dilakukan rejim Israel terhadap saudara sesama Islam di Gaza serta Palestin," jelasnya lagi.
ARTIKEL BERKAITAN: Kapal Tam Tam dirosakkan rejim Zionis, 10 rakyat Malaysia dibawa ke Israel - SNCC
GSF: Malaysia berkerjasama dengan negara sahabat, pastikan 10 rakyat dibebaskan rejim Zionis - PM
Kapal GSF dihalang secara agresif, 10 rakyat Malaysia terputus hubungan
GSF: 11 kapal terputus komunikasi, didakwa 7 telah dipintas tentera Israel
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
