Saranan Majlis Tahfiz Negara akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR - Saranan menubuhkan Majlis Tahfiz Negara akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu minggu hadapan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ini kerana katanya matlamat penubuhah tersebut adalah untuk melihat golongan hufaz profesional dilahirkan di negara ini.
Jelasnya, golongan tersebut bukan sahaja boleh menghafal al-Quran malah turut berperanan sebagai tenaga profesional seperti doktor, jurutera dan usahawan.
“Oleh itu, tahfiz mesti diberikan tempat yang lebih bermakna dalam arus perdana pendidikan negara. Berdaftar atau tidak berdaftar, kita mesti mempertabatkan pendidikan tahfiz.
“Saya sendiri yang akan membawa saranan ini ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk diluluskan oleh Jemaah menteri,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup dan Penyerahan Resolusi Kongres Pendidikan Bumiputera di World Trade Centre (WTC) di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Dr Zambri Abd Kadir.
Sementara itu, Ahmad Zahid turut mencadangkan supaya kurikulum atau silibus akhlak menjadi mata pelajaran wajib di semua peringkat pendidikan.
Jelasnya, ilmu tanpa ahlak merupakan kekosongan yang harus diisi dengan jiwa.
“Kita tidak boleh membentuk manusia yang hebat teknologi tetapi rapuh akhlaknya. Ilmu tanpa nilai akan melahirkan manusia yang cerdik namun tidak bijaksana.
“Sebab itu pendidikan mesti kembali kepada akhlak, adab, disipilin dan kasih pada negara,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

