Ahmad Zahid jumpa Anwar bincang krisis Negeri Sembilan

CYBERJAYA - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan krisis politik di Negeri Sembilan.
Bagaimanapun Ahmad Zahid enggan mengulas lanjut pertemuan tersebut.
"Hari ini... Takkan nak saya... (ketawa). Tak ada... Tak akan dapat masuk ya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), di sini pada Selasa.
Terdahulu, kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Negeri Sembilan sebulat suara mengumumkankan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keputusan itu dibuat susulan krisis yang membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri.
Krisis adat di Negeri Sembilan mencuri tumpuan susulan tindakan undang luak mengisytihar menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balai Undang Luak Sungei Ujong.
Sebelum itu, Aminuddin dalam kenyataannya memaklumkan, Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan menasihatkan Luak Sungei Ujong agar menerima pemberhentian Datuk Mubarak Dohak sebagai penyandang pesaka Dato' Klana Petra luak berkenaan.
Berikutan krisis berkenaan juga, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang sepatutnya berlangsung selama empat hari terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh yang belum ditetapkan walaupun istiadat pembukaan sidang berkenaan telah disempurnakan oleh Tuanku Muhriz pada Khamis lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

