Tiga sayap UMNO Negeri Sembilan dakwa MB gagal urus krisis adat

Kenyataan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Negeri Sembilan yang mendakwa Aminuddin gagal menguruskan krisis adat yang berlaku di negeri itu.
Kenyataan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Negeri Sembilan yang mendakwa Aminuddin gagal menguruskan krisis adat yang berlaku di negeri itu.
A
A
A

SHAH ALAM – Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Negeri Sembilan mendakwa tidakan tergesa-gesa mengarahkan pengosongan kediaman rasmi dan Balai Undang Sungei Ujong hanya mengesahkan kebimbangan mengenai krisis adat negeri itu gagal diuruskan dengan bijaksana oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Ketiga-tiga sayap parti berkenaan menerusi satu kenyataan bersama pada Jumaat berkata, kegagalan tersebut juga menguatkan alasan mengapa keyakinan terhadap kepimpinan Aminuddin telah hilang sejak tercetusnya krisis adat terbabit.

“Kami bersolidariti dan sebulat suara memandang serius arahan penempatan semula semua kakitangan Balai Undang Luak Sungei Ujong yang berkuat kuasa pada 28 April 2026 serta pengosongan kediaman rasmi dan Balai Undang Sungei Ujong sehari selepas itu.

“Jelas bahawa arahan tersebut dikeluarkan ketika Balai Undang Luak Sungei Ujong sedang menguruskan pertikaian yang belum selesai melibatkan Datuk Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong.

“Maka tindakan kerajaan negeri ini adalah tidak wajar, tidak sensitif dan boleh dilihat sebagai penggunaan kuasa pentadbiran untuk mendahului proses adat,” katanya.

Menurutnya, Institusi Undang Luak bukan sekadar jawatan pentadbiran biasa sebaliknya merupakan sebahagian daripada struktur adat Negeri Sembilan.

Katanya lagi, institusi terbabit juga yang mempunyai kedudukan tersendiri dan tinggi dalam sejarah, budaya serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang harus dihormati.

“Oleh itu, sebarang tindakan melibatkan kediaman rasmi, balai, kakitangan atau kemudahan berkaitan institusi tersebut perlu dibuat dengan penuh tertib, santun dan kebijaksanaan.

“Isu ini bukan soal politik kepartian. Ia secara terang-terangan mengenai kegagalan seorang Menteri Besar dalam mengurus krisis melalui tertib adat, menjaga maruah dan persepsi rakyat terhadap institusi di negeri kita,” dakwanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Media pada Khamis melaporkan suhu kemelut adat di Negeri Sembilan makin panas apabila tersebar satu surat kediaman rasmi dan Balai Undang Sungei Ujong di Ampangan, Seremban, diarah untuk dikosongkan.

Surat itu dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan ditujukan kepada Setiausaha Sulit Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak.

Surat berkenaan menyebut keputusan dibuat selaras dengan keputusan sidang khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bertarikh 17 April lalu.

Sebelum ini juga dilaporkan Aminuddin menegaskan tindakan Mubarak menandatangani serta membacakan pengisytiharan menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir tidak boleh diterima atau diiktiraf.

Ini kerana jelas beliau, Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong selain tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Episod berkaitan institusi beraja di Negeri Sembilan ini mula timbul apabila Waris Luak Sungei Ujong mengeluarkan kenyataan bertarikh 18 Mac memaklumkan Mubarak dilucutkan jawatan sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong ke-10 selepas didakwa melanggar hukum syarak dan adat.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Tua Lembaga Waris di-Darat, Datuk Andulika Mandalika Zainol Ariffin Ibrahim selepas mendapat keizinan dan persetujuan Ibu Soko Klana Hulu dan Anak.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!