Mubarak diarah kosongkan Balai Luak Undang Sungei Ujong

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Selepas lebih 30 tahun berada di kediaman rasmi Balai Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Mubarak Dohak akhirnya diarah mengosongkan kediaman rasmi terbabit serta-merta.
Surat arahan pengosongan tersebut yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Negeri Sembilan bertarikh 29 April mula tersebar pada Khamis.
Surat terbabit ditandatangani oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Khidmat Pengurusan, Akmal Farid Rizal Noordin.
Surat itu menyebut keputusan berkenaan dibuat selaras dengan keputusan Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) bertarikh 17 April lalu.
"Sehubungan dengan itu, pihak tuan puan diarahkan untuk melaksanakan pengosongan bangunan kediaman rasmi dan Balai Undang Luak Sungei Ujong berkuat kuasa serta-merta di samping memastikan semua aset-aset kerajaan negeri yang didaftar di premis Balai Undang Luak Sungei Ujong hendaklah berada dalam keadaan baik bagi tujuan pemeriksaan semula kelak," katanya.
Bagaimanapun SUK, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dihubungi pemberita enggan mengesahkan arahan pengosongan itu.
Menurut sumber, kakitangan kerajaan negeri yang berkhidmat di balai undang tersebut turut diarah bertukar penempatan.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi tidak menampakkan ada kerja-kerja pengosongan dilakukan, malah difahamkan Mubarak masih tinggal di situ.
Sebelum ini media melaporkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan tindakan Mubarak menandatangani serta membacakan pengisytiharan menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,Tuanku Muhriz Tuanku Munawir tidak boleh diterima atau diiktiraf.
Ini kerana jelas beliau, Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong selain tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Episod berkaitan institusi Beraja di Negeri Sembilan ini mula timbul apabila Waris Luak Sungei Ujong mengeluarkan kenyataan bertarikh 18 Mac memaklumkan Mubarak dilucutkan jawatan sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong ke-10 selepas didakwa melanggar hukum syarak dan adat.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Tua Lembaga Waris di-Darat, Datuk Andulika Mandalika Zainol Ariffin Ibrahim selepas mendapat keizinan dan persetujuan Ibu Soko Klana Hulu dan Anak.
Bagaimanapun dalam kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Datuk-Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong pada 18 April pula menjelaskan pendirian mereka yang sebulat suara ikrar taat setia kepada Mubarak.
Jelasnya, kenyataan dikeluarkan oleh Zainol Ariffin pada 18 Mac itu juga adalah tidak sah dari sudut adat kerana beliau telah pun dipecat pada 28 November 2024.
Dalam kenyataan berkenaan turut dijelaskan bahawa pemilihan Datuk Undang atau pemberhentian Datuk Undang perlu mengikut adat luaknya saja yang mana ia selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, Fasal 14 (1 dan 3).
Justeru, pihak luar yang tiada sebarang kepentingan diminta untuk tidak mencampuri urusan adat di Sungei Ujong
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

