Mubarak tangguh patuh arahan kosongkan Balai Luak Undang Sungei Ujong

Antara intipati surat daripada pihak Balai Luak Undang Sungei Ujong kepada Pejabat SUK Negeri Sembilan pada Khamis.
Antara intipati surat daripada pihak Balai Luak Undang Sungei Ujong kepada Pejabat SUK Negeri Sembilan pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Datuk Mubarak Dohak dilapor menangguhkan arahan pengosongan kompaun kediaman rasmi Balai Luak Undang Sungei Ujong buat masa ini atas beberapa alasan.

Menurut Setiausaha Sulit Mubarak iaitu Ahmad Hanafi Ruzlan dalam kenyataan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sembilan, terdapat motif tidak jelas dan tiada pencerahan berhubung isu surat pemberitahuan penempatan semula bagi kakitangan Balai Undang Luak Sungei Ujong bertarikh 27 April yang dihantar melalui e-mel sekitar jam 10 malam di luar waktu bekerja.

Beliau berkata, surat tersebut mengarahkan semua kakitangan supaya melaporkan diri ke Pejabat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) jam 9.30 pagi pada 28 April.

Jelasnya lagi, satu pertemuan diadakan pada hari tersebut dan dihadiri Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin serta Unit Perkhidmatan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Syed Muzaffar Syed Mohamad dengan tujuan pemberitahuan penempatan semula kakitangan Balai Undang Luak Sungei Ujong.

"Pihak kami seterusnya dimaklumkan Syed Muzaffar bahawa penempatan semula ini lanjutan daripada pelucutan Mubarak sebagai Undang Luak Sungei Ujong di mana arahan yang dikeluarkan berdasarkan kenyataan media Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pada 20 April lalu.

"Disebabkan itu, pihak kami telah memohon agar surat rasmi dan minit mesyuarat Sidang Khas DKU bertarikh 17 April di Istana Besar Seri Menanti diserahkan kepada Balai Undang Luak Sungei Ujong bagi tujuan pengesahan.

"Namun, dimaklumkan oleh Raja Norazli bahawa surat rasmi dan minit mesyuarat tersebut ada, tetapi enggan diserahkan kepada pihak saya selaku Setiausaha Sulit kepada Yang Teramat Mulia Datuk Undang Luak Sungei Ujong," katanya pada Khamis.

Atas dasar itu, kata Ahmad Hanafi, berlaku kekeliruan maklumat sama ada arahan tersebut berdasarkan kenyataan media Menteri Besar Negeri Sembilan pada 20 April atau berpandukan surat rasmi dan minit mesyuarat Sidang Khas DKU bertarikh 17 April di Istana Besar Seri Menanti.

"Mengapakah surat rasmi dan minit mesyuarat tersebut masih belum diserahkan kepada pihak Balai Undang Luak Sungei Ujong sehingga hari ini?

Artikel Berkaitan:

"Pihak kami memerlukan kepastian bertulis bahawa pemberitahuan penempatan tersebut berasaskan perkara sahih, bukan sekadar makluman lisan atau kenyataan media yang masih dalam pertikaian dan tuntutan penjelasan terperinci berhubung isu kritikal ini," jelasnya.

Ahmad Hanafi menambah, Balai Undang Luak Sungei Ujong ketika ini sedang menguruskan pertikaian melibatkan Mubarak.

Beliau berpendapat bahawa pengosongan premis secara mendadak tanpa sebarang kepastian menjejaskan usaha pemulihan berterusan.

Jika arahan pengosongan diteruskan, pihaknya khuatir bakal timbul kekecohan serta pertelingkahan awam yang berisiko membawa kepada situasi lebih buruk.

"Kehadiran dan penglibatan semua secara langsung adalah penting bagi menyelesaikan krisis ini dan mengurangkan risiko selanjutnya kepada organisasi.

"Berdasarkan perkara-perkara di atas, kami sekali lagi memohon dibekalkan surat rasmi pelucutan dan minit mesyuarat bertarikh 17 April di Istana Besar Seri Menanti pada kadar segera," ujarnya lagi.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa setelah lebih 30 tahun berada di kediaman rasmi Balai Undang Luak Sungei Ujong, Mubarak telah diarah untuk mengosongkan premis tersebut serta-merta.

Surat arahan pengosongan yang dikeluarkan Pejabat SUK Negeri Sembilan bertarikh 29 April itu mula tersebar pada Khamis, ditandatangani oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Khidmat Pengurusan, Akmal Farid Rizal Noordin.

Isi kandungan surat itu menyebut bahawa arahan pengosongan dibuat selaras keputusan Sidang Khas DKU bertarikh 17 April lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!