Pejabat SUK serah surat pengosongan Balai Undang Luak Sungei Ujong

Wakil Pejabat SUK menghantar surat pengosongan kediaman rasmi Balai Undang Luak Sungei Ujong
Wakil Pejabat SUK menghantar surat pengosongan kediaman rasmi Balai Undang Luak Sungei Ujong
A
A
A

SEREMBAN - Wakil Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Negeri Sembilan telah pun menghantar surat pengosongan kediaman rasmi Balai Undang Luak Sungei Ujong di sini pada Khamis.

Surat berkenaan dihantar sekitar jam 4.40 petang oleh seorang lelaki dan diterima oleh wakil pejabat Balai Undang Luak Sungei Ujong.

Wakil Pejabat Balai Undang Luak Sungei Ujong kemudiannya mengesahkan penerimaan surat tersebut dan memakluman ia akan dirujuk kepada peguam untuk tindakan selanjutnya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, surat arahan pengosongan tersebut bertarikh 29 April dan ditandatangani oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Khidmat Pengurusan, Akmal Farid Rizal Noordin.

Surat itu menyebut keputusan berkenaan dibuat selaras dengan keputusan sidang khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) bertarikh 17 April lalu.

"Sehubungan dengan itu, pihak tuan puan diarahkan untuk melaksanakan pengosongan bagunan kediaman rasmi dan Balai Undang Luak Sungei Ujong berkuat kuasa serta-merta di samping memastikan semua aset-aset kerajaan negeri yang didaftar di premis Balai Undang Luak Sungei Ujong hendaklah berada dalam keadaan baik bagi tujuan pemeriksaan semula kelak," katanya.

Menurut sumber, kakitangan kerajaan negeri yang berkhidmat di balai undang tersebut turut diarah bertukar penempatan.

Sebelum ini media melaporkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan tindakan Mubarak menandatangani serta membacakan pengisytiharan menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,Tuanku Muhriz Tuanku Munawir tidak boleh diterima atau diiktiraf.

Ini kerana jelas beliau, Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong selain tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

Episod berkaitan institusi Beraja di Negeri Sembilan ini mula timbul apabila Waris Luak Sungei Ujong mengeluarkan kenyataan bertarikh 18 Mac memaklumkan Mubarak dilucutkan jawatan sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong ke-10 selepas didakwa melanggar hukum syarak dan adat.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Tua Lembaga Waris di-Darat, Datuk Andulika Mandalika Zainol Ariffin Ibrahim selepas mendapat keizinan dan persetujuan Ibu Soko Klana Hulu dan Anak.

Bagaimanapun dalam kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Datuk-Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong pada 18 April pula menjelaskan pendirian mereka yang sebulat suara ikrar taat setia kepada Mubarak.

Jelasnya, kenyataan dikeluarkan oleh Zainol Ariffin pada 18 Mac itu juga adalah tidak sah dari sudut adat kerana beliau telah pun dipecat pada 28 November 2024.

Dalam kenyataan berkenaan turut dijelaskan bahawa pemilihan Datuk Undang atau pemberhentian Datuk Undang perlu mengikut adat luaknya saja yang mana ia selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, Fasal 14 (1 dan 3).

Justeru, pihak luar yang tiada sebarang kepentingan diminta untuk tidak mencampuri urusan adat di Sungei Ujong.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!