Ultras Malaya boikot semua aksi Harimau Malaya

KUMPULAN penyokong Harimau Malaya, Ultras Malaya mengumumkan keputusan untuk memboikot semua perlawanan melibatkan skuad Harimau Malaya berkuat kuasa serta-merta.
Tindakan drastik itu diambil susulan kegagalan pihak berkaitan memenuhi tiga tuntutan utama yang telah dibentangkan oleh kumpulan penyokong tersebut pada 13 April lalu.
Ia meliputi tiga perkara iaitu menarik balik kerakyatan tujuh pemain, memulangkan semula pengurusan Harimau Malaya kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam landskap bola sepak Malaysia.
Menerusi satu kenyataan rasmi, Ultras Malaya menegaskan bahawa keputusan tersebut dicapai selepas penelitian mendalam dibuat bersama seluruh sub yang bernaung di bawah Ultras Malaya
“Kami telah sebulat suara memutuskan untuk melaksanakan boikot fasa satu, iaitu memboikot semua perlawanan yang melibatkan pasukan kebangsaan Malaysia.
"Kami memberikan tempoh sehingga 31 Ogos 2026 untuk ketiga-tiga tuntutan tersebut dipenuhi dan dilaksanakan oleh pihak-pihak yang berkaitan, demi memastikan bola sepak Malaysia benar-benar merdeka daripada kepentingan sempit, kegagalan tatakelola dan kerosakan sistem yang berpanjangan," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, sekiranya ketiga-tiga tuntutan ini tidak dipenuhi dalam tempoh yang telah ditetapkan, boikot fasa dua yang lebih menyeluruh akan dilaksanakan.
"Fasa kedua ini akan melibatkan keseluruhan ekosistem Liga Malaysia,” katanya.
Ultras Malaya turut menyatakan pendirian teguh untuk terus memperjuangkan integriti bola sepak yang tulen dan adil, selain menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan menjadikan sukan tersebut sebagai alat kepentingan peribadi atau pengaruh individu tertentu.
Tindakan ini diputuskan bukan atas dasar kebencian terhadap pasukan kebangsaan atau mana-mana pihak, tetapi demi masa depan bola sepak Malaysia yang lebih bermaruah, tersusun dan bertanggungjawab," ujar kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
