Dakwaan Harimau Malaya sakit di Jepun palsu - Perhilitan

PUTRAJAYA - Dakwaan kononnya seekor Harimau Malaya berada dalam keadaan kurus dan tidak sihat di Zoo Tennoji, Osaka di Jepun seperti yang tular dalam video di media sosial adalah palsu, menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada Jumaat.
Jabatan itu dalam kenyataan memaklumkan, hasil semakan dan pengesahan lanjut mendapati hidupan liar yang dipaparkan dalam video berkenaan adalah Harimau Amur (Panthera tigris altaica) dan bukan Harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni).
"Video itu memaparkan seekor harimau yang didakwa sebagai Harimau Malaya dalam keadaan kurus dan tidak sihat di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun, sekali gus mencetuskan kebimbangan dan reaksi negatif dalam kalangan masyarakat, khususnya berkaitan kebajikan hidupan liar serta imej pemuliharaan Harimau Malaya.
"Jabatan ini juga menegaskan Harimau Amur itu bukan milik Jabatan Perhilitan atau kerajaan Malaysia seperti yang didakwa,” menurut kenyataan itu.
Perhilitan memaklumkan, penularan maklumat yang tidak tepat ini telah menyebabkan kekeliruan awam, khususnya apabila spesies hidupan liar berkenaan disalah anggap sebagai Harimau Malaya, sehingga menjejaskan persepsi terhadap usaha pemuliharaan spesies terancam negara.
Sehubungan dengan itu, Perhilitan ingin menegaskan orang awam hendaklah bertanggungjawab dalam berkongsi maklumat, khususnya di media sosial, dengan memastikan kesahihan fakta sebelum menyebarkan sebarang kandungan.
"Penyebaran maklumat tidak tepat atau tidak disahkan boleh menimbulkan kekeliruan, mencetuskan persepsi negatif serta menjejaskan usaha pemuliharaan hidupan liar di peringkat nasional dan antarabangsa.
"Orang ramai juga disaran untuk merujuk kepada sumber rasmi kerajaan atau pihak berautoriti dalam mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih serta mengelakkan daripada membuat spekulasi yang tidak berasas,” menurut kenyataan itu.
Perhilitan kekal komited dalam memastikan pemuliharaan hidupan liar negara terus dipelihara dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan di dalam dan luar negara bagi menjamin kebajikan spesies terancam, termasuk Harimau Malaya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
