'Enam jam penuh debaran' - Kisah air mata suami diuji isteri jatuh sakit di Vietnam

Jamri ketika mengiring isterinya yang koma untuk dihantar ke HQEII sebaik tiba dari Vietnam.
Jamri ketika mengiring isterinya yang koma untuk dihantar ke HQEII sebaik tiba dari Vietnam.
A
A
A

KOTA KINABALU - Enam jam perjalanan dari Vietnam ke Kota Kinabalu bukan sekadar penerbangan biasa buat Jamri Herry, 40, sebaliknya ia adalah perjalanan penuh debaran dan harapan membawa pulang isterinya, Ruhana Joseph, 34, yang masih tidak sedarkan diri sejak kira-kira 10 hari berada di negara orang.

Ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) disambut dengan kelegaan yang sukar diungkapkan.

Di sebalik wajah tenang Jamri, tersimpan kisah penuh air mata, doa dan kebergantungan sepenuhnya kepada ALLAH SWT sepanjang mereka berada jauh di negara orang, dirinya diuji apabila isterinya jatuh sakit. 

Menurut Jamri, sepanjang tempoh itu, setiap detik adalah ujian kekuatan mental dan emosinya apabila melihat insan tersayang terbaring tanpa sedar, yang mana pada awalnya disifatkan sebagai kritikal.

"Dalam perjalanan sepanjang enam jam tadi, pada mulanya bacaan oksigen jantung isteri saya menurun hingga sekitar 90. Tapi Alhamdulillah, ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, tiba-tiba keadaannya stabil. 

"Doktor pun terkejut. Saya anggap itu semua kerana doa ramai orang termasuk ahli keluarga dan seluruh rakyat Malaysia, " katanya ketika ditemui di KKIA di sini pada Jumaat.

Jamri mengakui sepanjang berada di Vietnam, dia tidak mampu menahan perasaan apabila berdepan situasi yang tidak pernah dibayangkan dalam hidupnya.

"Hanya ALLAH tahu apa yang saya lalui sepanjang di sana. Saya memang menangis… tidak kira siang atau malam. Air mata itu memang tidak dapat ditahan bila tengok keadaan isteri saya begitu. Pada hari ketiga, saya betul-betul berserah kepada ALLAH. Waktu itu saya sudah tidak tahu apa lagi yang boleh saya buat selain berdoa.

"Dalam masa sama, saya juga berdepan kekangan kewangan untuk teruskan rawatan isteri. Alhamdulillah, bantuan daripada kerajaan negeri dan beberapa pihak datang membantu. Dari situ saya rasa ada harapan…," katanya.

Artikel Berkaitan:

Walaupun dihimpit kesedihan, Jamri tidak pernah berhenti memberi kata-kata semangat kepada isterinya dan percaya bahawa Ruhana masih mampu mendengar setiap tutur katanya.

"Saya selalu lap muka dia, saya bercakap dengan dia, saya selawat. Kadang-kadang saya nampak ada pergerakan sedikit pada bahagian mata macam bergerak. Saya harap dia dengar. Saya selalu cakap tentang anak kami, supaya dia kuat untuk bangun.

Tambahnya lagi, perkembangan keadaan isterinya yang menunjukkan reaksi seperti batuk turut memberi sinar harapan, sekali gus menimbulkan kemungkinan bahawa keadaan sebenar mungkin bukan seperti yang dijangka pada awalnya.

Kini, Ruhana akan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) untuk rawatan lanjut termasuk imbasan di kepala bagi mengenal pasti punca sebenar sama ada melibatkan pendarahan atau strok.

Dalam nada penuh syukur, Jamri turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu memudahkan urusannya sepanjang detik sukar itu.

"Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri Sabah, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Ketua Setiausaha Politik beiau, Datuk Azrul Ibrahim, Majlis Sukan Negeri (MSN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan semua rakyat Sabah serta Malaysia yang mendoakan kami," katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan pasangan suami isteri itu terkandas di ketika bercuti apabila Ruhana tiba-tiba tidak sedarkan diri ketika hari terakhir berada di Vietnam iaitu pada 21 April lalu.

Ruhana kemudian menerima rawatan di hospital negara tersebut dan kisah mereka tular di media sosial apabila Jamri memohon bantuan untuk membawa pulang isterinya kembali ke Kota Kinabalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!