Aminuddin kekal Menteri Besar, hormati mandat dan proses

Farahida
Farahida
A
A
A

KUANTAN - Kedudukan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan kekal sah pada ketika ini selaras dengan nasihat Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, agar pentadbiran negeri diteruskan seperti biasa.

Exco Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Farahida Fauzi berkata, dalam keadaan ini, semua pihak perlu menghentikan sebarang spekulasi dan pembentukan persepsi yang boleh menjejaskan kestabilan politik negeri.

Menurutnya, kestabilan pentadbiran amat penting agar tumpuan kerajaan negeri terus diberikan kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

"Segala proses berkaitan pembentukan atau perubahan kerajaan negeri mesti berjalan mengikut tertib Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, di bawah kebijaksanaan Tuanku serta melalui saluran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Rakyat telah membuat pilihan yang jelas dalam pilihan raya lalu dan mandat tersebut tidak wajar diputar, dipinjam atau ditentukan semula melalui percaturan politik yang menafikan kehendak pengundi," katanya dalam satu kenyataan pada malam Rabu.

Beliau menjelaskan bahawa dalam sebuah negeri berteraskan adat dan sistem pemerintahan berperlembagaan, semua pihak wajib menghormati proses yang sedang berlangsung serta tidak mendahului keputusan Tuanku.

Farahida menambah, sekiranya benar wujud sokongan baharu, ia mesti dibuktikan melalui saluran sah.

"Kita percaya kestabilan politik adalah prasyarat penting untuk memastikan agenda pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat dapat diteruskan tanpa gangguan.

"Akhirnya, prinsip mesti dipertahankan tanpa kompromi: hormati mandat rakyat, hormati institusi raja dan pelihara kestabilan negeri. Jika benar ada majoriti, buktikan di DUN, bukan melalui sidang media," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 lalu, PH memenangi 17 kerusi, diikuti BN dengan 14 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) memperoleh lima daripada 36 kerusi yang dipertandingkan.

Pentadbiran Negeri Sembilan kini diterajui Aminuddin dengan komposisi kerusi yang stabil hasil gabungan PH dan BN pada PRN lalu.

Terdahulu, Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, mengadakan sidang akhbar bagi memaklumkan penarikan sokongan tersebut.

Beliau dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat susulan krisis yang membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri.

Sebelum ini, krisis adat di Negeri Sembilan mencuri tumpuan susulan tindakan Undang Luak pada 19 April lalu yang mengisytiharkan penurunan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balai Undang Luak Sungai Ujong.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!