Mesyuarat Exco Negeri Sembilan berjalan seperti biasa

SEREMBAN - Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan pada Rabu berlangsung seperti biasa meskipun negeri itu sedang berdepan krisis politik ketika ini.
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Ahmad Shahir Mohd Shah memaklumkan sidang media selepas mesyuarat seperti kebiasaan akan diadakan pada jam 1.30 tengah hari di Bilik Gerakan, Wisma Negeri di sini.
Difahamkan, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun memberi tumpuan kepada urusan pentadbiran negeri dan kebajikan rakyat, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir agar kerajaan negeri terus berfungsi seperti biasa.
Perkembangan itu dilihat sebagai usaha memastikan kelangsungan tadbir urus negeri tidak terjejas walaupun wujud ketidaktentuan politik yang masih belum menemui penyelesaian muktamad.
Krisis politik tercetus susulan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang mengumumkan penarikan sokongan serta hilang kepercayaan terhadap Aminuddin berkuat kuasa serta-merta.
Bagaimanapun, Aminuddin dalam sidang media Isnin lalu menegaskan beliau akan terus menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Besar sehingga sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) diperjelaskan, selaras dengan titah Tuanku Muhriz.
Beliau turut memaklumkan empat jawatan Exco yang sebelum ini disandang ADUN UMNO dianggap kosong selepas mereka menarik sokongan terhadap kepimpinannya.
Antara ADUN terlibat ialah Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang memegang portfolio Exco Kanan serta Exco Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi serta Jawatankuasa Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup.
Tiga lagi ADUN UMNO dalam pentadbiran negeri ialah Datuk Ismail Lasim (Exco Pendidikan dan Modal Insan), Datuk Mustapha Nagoor (Exco Pembangunan Belia dan Sukan) serta Datuk Mohd Faizal Ramli (Exco Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

