Kenyataan tiga sayap UMNO Negeri Sembilan pendapat masing-masing - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan tiga sayap UMNO Negeri Sembilan berhubung Menteri Besar sebagai pandangan masing-masing.
Ahmad Zahid menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan tiga sayap UMNO Negeri Sembilan berhubung Menteri Besar sebagai pandangan masing-masing.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kenyataan yang dikeluarkan oleh tiga sayap parti UMNO Negeri Sembilan berkaitan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun disifatkan sebagai pandangan masing-masing.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun menegaskan bahawa keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan untuk menarik sokongan terhadap Aminuddin merupakan pendirian rasmi parti dan wajar dihormati semua pihak.

"Soal (kenyataan mengenai) ketidakpercayaan itu adalah pendapat mereka.

"Namun, kita yakin bahawa keberadaan ADUN-ADUN BN dalam Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan itu adalah keputusan parti dan ia harus dihormati," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penutup dan Penyerahan Resolusi Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Media pada Khamis melaporkan suhu kemelut adat di Negeri Sembilan semakin panas apabila tersebar satu surat arahan pengosongan kediaman rasmi dan Balai Undang Sungei Ujong di Ampangan, Seremban.

Surat itu dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan ditujukan kepada Setiausaha Sulit Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak.

Surat berkenaan menyebut keputusan dibuat selaras dengan keputusan sidang khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bertarikh 17 April lalu.

Pada Jumaat, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Negeri Sembilan mendakwa tindakan tergesa-gesa itu hanya mengesahkan kebimbangan mengenai krisis adat negeri itu gagal diuruskan dengan bijaksana oleh Aminuddin.

Artikel Berkaitan:

Ketiga-tiga sayap parti berkenaan menerusi satu kenyataan bersama berkata, kegagalan tersebut juga menguatkan alasan mengapa keyakinan terhadap kepimpinan Aminuddin telah hilang sejak tercetusnya krisis adat terbabit.

Sementara itu, mengulas pendirian BN untuk bekerjasama dengan mana-mana gabungan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, Ahmad Zahid memilih tidak memberi maklum balas berhubung perkara tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!