ADUN Jeram Padang nafi UMNO Negeri Sembilan berpecah

Mohd Zaidy
Mohd Zaidy
A
A
A

SEREMBAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menafikan segala spekulasi yang tular di media sosial kononnya wujud perpecahan dalam kalangan kepimpinan UMNO-BN di Negeri Sembilan.

Beliau turut menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak berasas dan hanya bertujuan mengeruhkan keadaan politik semasa negeri.

Malah katanya, pendiriannya adalah untuk terus setia bersama parti serta menyokong kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sekali gus.

“Pendirian saya jelas, taat setia kepada parti serta akur kepada keputusan pucuk pimpinan. Segala khabar angin yang tular di media sosial adalah tidak benar sama sekali,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, fokus utamanya ketika ini adalah memastikan kestabilan kerajaan negeri terus terpelihara, selain memberi tumpuan kepada agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.

Ujarnya, beliau juga tidak akan mudah terpengaruh dengan dakyah yang boleh menjejaskan perpaduan.

“Kita perlu kekal fokus kepada tanggungjawab dan komitmen saya selaku wakil rakyat.

"Kita akui bahawa rakyat mahukan kestabilan, bukan perbalahan malah ia adalah selari dengan prinsip bersama parti dan kepimpinan Presiden UMNO,” katanya.

Beliau juga menyeru agar semua pihak menghentikan penyebaran berita tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu timbul desas desus bahawa empat ADUN UMNO membuat pusingan U menyokong semula kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Mohd Zaidy antara salah seorang daripada 12 ADUN UMNO yang disebut-sebut akan dilantik sebagai Exco baharu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!