Rafizi sahkan dipanggil SPRM Isnin ini kes usaha sama kerajaan, Arm Holdings

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mengesahkan menerima notis daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk hadir memberi keterangan di ibu pejabat agensi itu pada Isnin ini, jam 10 pagi.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, ia berhubung siasatan SPRM ke atas usaha sama kerajaan Malaysia dengan syarikat gergasi perisian cip dunia yang berpangkalan di United Kingdom (UK), Arm Holdings.

Menurut Rafizi, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) telah mendakwanya membuat perjanjian secara tergesa-gesa berhubung perkara itu.

"Februari lalu, beberapa hari selepas saya membuat ulasan tentang Bloomberg mendedahkan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, tiba-tiba ada laporan SPRM daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa). Kononnya perjanjian dibuat secara tergesa-gesa dan merugikan negara.

"Semasa ditanya pengamal media, wakil Perkasa itupun tak mahu mengulas lanjut kerana katanya, dia pun tak faham sangat.

"Kes menjurus kepada sama ada saya mendesak Jemaah Menteri untuk menandatangani (perjanjian) secara tergesa-gesa atau tidak. Tiada motif wang dan tiada wang yang terlibat," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Rafizi bagaimanapun menjangkakan dirinya bakal didakwa atas tuduhan pecah amanah selepas memberi keterangan kepada SPRM minggu depan disebabkan alasan menyalurkan maklumat salah atau menyebabkan Jemaah Menteri menurunkan tandatangan secara tergesa-gesa.

Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga memaklumkan bakal mengulas siasatan tersebut berserta apa yang akan berlaku secara lebih terperinci dalam podcast Yang Berhenti Menteri (YBM) jam 9 malam ini.

"Insya-ALLAH, saya sudah bersedia dengan pasukan peguam saya. Ia akan menjadi perbicaraan yang panjang dan menarik kerana ramai pimpinan besar negara dipanggil menjadi saksi daripada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri sehinggalah kepada barisan menteri.

Artikel Berkaitan:

"Usaha sama dengan Arm diteruskan sehingga sekarang. Pada masa SPRM mengejar untuk mendakwa kami, kerajaan menjaja cerita kejayaan bagaimana usaha sama ini merevolusikan industri cip negara kerana kita akan mencipta sendiri cip untuk dijual, bukan memasang sahaja.

"Kes ini satu lagi peringatan kepada ahli politik dan pegawai kerajaan lain di Malaysia, jangan jadi macam Rafizi. Kalau tidak setuju sesuatu (perkara) duduk diam-diam. Kalau tidak, kami ajar kamu dengan dakwa di mahkamah atas kes yang bukan-bukan," ujarnya seloroh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!