[VIDEO] 'Saya datang ke mahkamah nak tengok muka dia' - Abang mangsa pukul hingga gugur

A
A
A

SUNGAI PETANI - Keluarga kepada wanita yang dipukul suami dalam kejadian di Ambangan Heights di sini Khamis lalu, menzahirkan kesyukuran sebaik sahaja lelaki itu berjaya diberkas polis.

Abang mangsa, Mohd Firdaus Mokhtar, 45, berkata, keluarga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara telus dan adil.

Mohd Firdaus (kanan) ketika ditemui pemberita di luar pekarangan mahkamah.
Mohd Firdaus (kanan) ketika ditemui pemberita di luar pekarangan mahkamah.

"Saya hadir hari ini ke mahkamah sebab nak tengok sendiri sama ada betul atau tidak dia yang ditangkap. Saya datang bukan sebab emosi.

"Saya serah kepada ALLAH Taala yang menentukan...siasatan serah kepada pihak berkuasa seadilnya," katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah.

Sementara itu, peguam pemerhati yang mewakili keluarga mangsa, Jamaluddin Ali Mohd Jobran berkata, mahkamah membenarkan perintah reman selama tujuh hari terhadap suspek bagi membantu siasatan.

Mohd Firdaus dan Jamaluddin ditemui di luar pekarangan mahkamah.
Mohd Firdaus dan Jamaluddin ditemui di luar pekarangan mahkamah.

Artikel Berkaitan:

"Untuk kes hari ini, orang yang disiasat telah dibawa pihak polis di hadapan majistret untuk proses tahanan reman dan perintah itu telah diluluskan. Jadi buat masa sekarang suspek akan ditahan untuk siasatan.

"Berkenaan apa-apa yang berlegar di media sosial, saya mohon supaya tidak berlebih-lebihan agar tidak mengganggu siasatan polis," katanya.

Dalam masa sama, beliau memohon agar seluruh rakyat Malaysia mendoakan supaya mangsa diberikan kesembuhan dan kekuatan menghadapi dugaan ini.

"Saya dimaklumkan mangsa masih dalam rawatan, ada trauma sikit dan berharap kes ini tidak berlaku kepada orang lain serta siasatan berjalan lancar dan proses undang-undang dapat ditegakkan.

"Difahamkan, kecederaan dialami agak parah di bahagian tulang rusuk, tulang pinggul. Saya perlu dapatkan laporan perubatan untuk maklumat lanjut," ujarnya.

Jamaluddin turut meminta agar mangsa lain yang mempunyai kaitan supaya tampil melaporkan kejadian kepada pihak polis agar siasatan menyeluruh dapat dijalankan.

Beliau menjelaskan, bagi kes ini, mangsa dilaporkan telah membuat laporan polis pada 26 April lalu bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang wanita cedera di beberapa bahagian badan dipercayai dipukul suami menyebabkan mangsa yang hamil 12 minggu turut mengalami keguguran.

Kejadian dipercayai tercetus apabila mangsa yang juga penjawat awam dikatakan bertengkar dengan suaminya menyebabkan dia dipukul dengan teruk menggunakan penyangkut baju, getah paip dan batang besi langsir serta batang penyapu hingga patah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!