144 operator pelancongan beroperasi secara haram di Semporna

KOTA KINABALU - Hanya 46 operator pelancongan yang dikenal pasti mempunyai lesen yang sah manakala 144 operator lagi didapati beroperasi secara haram di Semporna.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin berkata, satu mesyuarat pasukan khas bersepadu diadakan bagi membincngkan isu pelancongan di daerah itu.
"Kita telah memutuskan beberapa keputusan yang mana ia adalah untuk kebaikan industri pelancongan khususnya di negeri ini dan juga Semporna.
"Kita telah mengenal pasti memang betul ada 190 operator yang beroperasi di Semporna dan daripada jumlah itu, 46 sahaja yang mempunyai lesen yang sah.
"Jadi kita telahpun sebar luaskan operator yang berlesen melalui laman sesawang kementerian untuk memaklumkan kepada orang awam atau pelancong bahawa mereka adalah pemain industri yang mempunyai lesen yang sah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan MATTA Fair Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Sabtu.
Jafry sebelum itu diminta mengulas mengenai perkembangan semasa mengenai pasukan khas yang ditubuhkan susulan pelbagai isu yang menjejaskan industri pelancongan di Semporna.
Beliau memaklumkan setakat ini semua pengusaha dari sudut perundangan adalah warga tempatan, namun kemungkinan wujud kerjasama dengan pihak lain.
"Setakat ini, kami masih belum menerima sebarang aduan berhubung penglibatan pihak asing," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, beliau melihat krisis global tidak terlalu menjejaskan sektor pelancongan Sabah, namun pemain industri perlu terus berwaspada dan membuat perancangan rapi.
"Isu global itu memang tidak dapat dielakkan dan luar bidang kuasa kita tetapi alhamdulillah di negara kita dan di negeri Sabah khususnya, isu itu tidak terlalu memberi kesan yang terlampau besar kepada sektor pelancongan kita.
"Tapi kita sebagai pemain industri perlu berhati-hati, perlu merancang dan seterusnya memastikan apa juga yang kita tawarkan terus menarik perhatian pelancong sama ada daripada dalam negara ataupun luar negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
