Kemarau, diesel: Harga lembu korban naik 10 peratus di Kelantan

Muzakkir (kiri) dan Che Mohd Faizul terpaksa akur apabila kenaikan itu berlaku menjelang sambutan Aidiladha yang berbaki kira-kira sebulan lagi apabila penternak terpaksa menanggung kos tambahan untuk mengekalkan keadaan lembu.
Muzakkir (kiri) dan Che Mohd Faizul terpaksa akur apabila kenaikan itu berlaku menjelang sambutan Aidiladha yang berbaki kira-kira sebulan lagi apabila penternak terpaksa menanggung kos tambahan untuk mengekalkan keadaan lembu.
A
A
A

TUMPAT - Harga lembu bagi ibadah korban di negeri ini dijangka meningkat sekitar 10 peratus tahun ini susulan cuaca kemarau berpanjangan serta kenaikan harga diesel yang menjejaskan bekalan rumput serta meningkatkan kos makanan ternakan dan pengangkutan.

Pemilik Khir Bitara Farm, Muzakkir Mansor, 41, berkata, kenaikan itu berlaku menjelang sambutan Aidiladha yang berbaki kira-kira sebulan lagi apabila penternak terpaksa menanggung kos tambahan untuk mengekalkan keadaan lembu.

Menurut beliau, antara faktor utama ialah kekurangan rumput tempatan ekoran kemarau berpanjang menyebabkan penternak perlu mendapatkan jerami dari luar negeri termasuk Kedah.

Che Mohd Faizul memberi jerami kepada lembu yang dibela dan penternakan di ladang tersebut menekankan kaedah organik dengan haiwan terbabit diberi makanan berasaskan rumput tanpa campuran makanan tambahan berlebihan.
Che Mohd Faizul memberi jerami kepada lembu yang dibela dan penternakan di ladang tersebut menekankan kaedah organik dengan haiwan terbabit diberi makanan berasaskan rumput tanpa campuran makanan tambahan berlebihan.

"Apabila musim kemarau, rumput semakin berkurangan dan kami terpaksa beli jerami dari luar untuk memastikan lembu kekal sihat serta cukup makan.

"Selain itu, kos pengangkutan untuk membeli jerami juga meningkat. Jika dahulu satu trip sekitar RM800 hingga RM900, sekarang mencecah RM1,000," katanya ketika ditemui di ladangnya di Kampung Pulau Raja, Sungai Pinang, Palekbang di sini pada Isnin.

Ujar beliau, harga seekor lembu korban yang sebelum ini sekitar RM5,200 kini dijangka meningkat kepada RM5,400 hingga RM5,500 bergantung kepada saiz dan keadaan haiwan tersebut.

Menurut Muzakkir, walaupun berlaku kenaikan harga, sambutan tempahan masih diterima namun pengguna dilihat lebih berhati-hati berbelanja berikutan keadaan ekonomi semasa.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini sudah ada kira-kira 20 ekor ditempah, semuanya dalam Kelantan. Tetapi trend tahun ini agak perlahan sedikit berbanding tahun lalu.

"Mungkin orang ramai masih menilai kemampuan kewangan masing-masing. Biasanya ada juga pelanggan yang buat tempahan pada saat akhir," katanya.

Tambah beliau, ladang berkenaan mempunyai hampir 200 ekor lembu secara keseluruhan untuk bekalan raya korban.

Beliau yang mengusahakan ladang tersebut bersama rakan kongsi, Che Mohd Faizul Che Abdullah, 41, memberitahu, mereka mampu menyediakan ratusan ekor lembu korban sekiranya menerima tempahan awal kerana mempunyai rangkaian bekalan tambahan dari penternak lain.

"Kami galakkan orang ramai membuat tempahan awal supaya urusan penghantaran dapat disusun lebih teratur. Seminggu sebelum Aidiladha biasanya lembu sudah mula dihantar ke lokasi pelanggan.

"Kami juga menyediakan penghantaran ke seluruh Semenanjung Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, ujar Muzakkir, penternakan di ladangnya menekankan kaedah organik dengan lembu diberi makanan berasaskan rumput tanpa campuran makanan tambahan berlebihan.

Katanya, kebanyakan lembu yang ditawarkan sempena Aidiladha ialah baka kacukan Kedah-Kelantan yang lebih mampu milik, dengan harga promosi antara RM5,000 hingga RM6,500 seekor.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!