Amanah Johor gesa rakyat hukum UMNO jika PRN diadakan

JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor menyeru rakyat negeri ini supaya menghukum UMNO dan Barisan Nasional (BN) sekiranya pilihan raya negeri (PRN) diadakan dalam masa terdekat susulan dakwaan kegagalan parti itu mentadbir serta memahami keperluan rakyat.
Naib Pengerusi Amanah Johor, Dr Zuhan Zain berkata, antara faktor utama ialah ketidakprihatinan UMNO dan BN terhadap masalah ekonomi rakyat yang semakin meruncing ketika kos sara hidup terus meningkat.
Menurutnya, dalam keadaan tekanan ekonomi global yang semakin ketara, kerajaan negeri dilihat gagal memberikan penyelesaian yang tuntas dan berkesan kepada rakyat.
“Amanah Johor turut melihat kerakusan politik UMNO yang sanggup menggugat kestabilan kerajaan negeri yang disertai mereka, termasuk perkembangan yang berlaku di negeri lain, sebagai bukti bahawa kepentingan kuasa mengatasi kepentingan rakyat.
“Tindakan ini jelas menunjukkan bahawa UMNO tidak mencerminkan sikap rakan gabungan yang setia dan bertanggungjawab, sebaliknya lebih cenderung kepada percaturan politik sempit yang akhirnya merugikan kestabilan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, rakyat Johor berhak memilih kepimpinan yang stabil, berintegriti dan benar-benar fokus kepada kebajikan rakyat, bukannya kepimpinan yang menjadikan politik sebagai medan perebutan kuasa tanpa hala tuju jelas.
Tambah beliau, Amanah Johor bersama Pakatan Harapan komited menawarkan alternatif kepimpinan yang lebih bersih, inklusif dan berpaksikan rakyat selari dengan aspirasi Malaysia yang lebih adil dan progresif.
“Amanah Johor yakin rakyat kini semakin bijak menilai dan tidak akan lagi terperangkap dengan retorik politik semata-mata.
“Mandat rakyat perlu digunakan sebagai suara untuk menolak politik tidak stabil dan tidak bertanggungjawab,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

