Jawatan Exco Fahmi Zainol tamat hari ini

Fahmi Zainol
Fahmi Zainol
A
A
A

GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Jawatan Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi yang disandang oleh Fahmi Zainol telah tamat secara rasminya pada Rabu.

Pengumuman tersebut dibuat Ketua Menteri, Chow Kon Yeow pada sidang akhbar di pejabatnya pada Rabu.

“Saya ingin memaklumkan bahawa perkhidmatan Yang Berhormat Fahmi Zainal sebagai Ahli Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri telah bertamat pada hari ini, 4 Mac 2026.

"Saya sudah bertemu dengan Yang Berhormat awal pagi ini dan beliau menerima keputusan ini," katanya.

Menurutnya, cadangan nama pengganti akan dikemukakan kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib pada petang Rabu untuk mendapatkan perkenan.

"Saya akan kemukakan cadangan penggantian kepada Tuan Yang Terutama Tun pada petang ini untuk perkenan.

"Setelah mendapat perkenan, pejabat saya akan mengeluarkan kenyataan bagi mengumumkan penggantian Ahli MMK untuk mengisi kekosongan yang timbul,” katanya.

Mengulas sama ada pengganti Fahmi adalah daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Kon Yeow menjelaskan ia boleh dianggap demikian memandangkan Fahmi mewakili parti itu dalam kerajaan negeri.

Ditanya sama ada akan berlaku rombakan portfolio Exco susulan perkembangan itu, beliau berkata, pengumuman hanya akan dibuat pada hari mengangkat sumpah Exco baharu minggu ini sekiranya terdapat sebarang pindaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan tindakan berkenaan dibuat susulan surat rasmi daripada PKR yang meminta penggantian.

“Parti (PKR) kemukakan surat pada semalam (3 Mac) melalui Setiausaha agungnya, Datuk Dr Fuziah Salleh yang minta penggantian. Itu bezanya.

“Dalam kes sebelum ini, saya tidak terima apa-apa surat permintaan daripada parti berkaitan untuk tindakan sewajarnya. Tetapi dalam kes ini, ada surat daripada parti untuk minta penggantian,” katanya.

Mengulas persoalan mengapa tindakan berbeza diambil berbanding kes lain yang turut melibatkan wakil rakyat termasuk kes melibatkan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, Kon Yeow berkata, setiap kes mempunyai pertimbangan tersendiri.

“Ada perbezaannya, bukan sekadar disiasat. Mungkin parti berkenaan merasakan sudah dihadapkan ke mahkamah dan mungkin ada sebab-sebab lain.

“Saya hormati keputusan parti kerana parti boleh membuat keputusan atas pelbagai pertimbangan,” katanya.

Sebelum ini, Fahmi yang merupakan Exco negeri termuda digantung serta-merta daripada semua jawatan PKR sehingga kes mahkamahnya selesai.

Tindakan berkenaan dibuat susulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak itu yang didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya.

Fahmi sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau atas tuduhan dengan sengaja mencederakan isterinya dalam satu kejadian pada 22 Februari.

Bagaimanapun, Fahmi mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibaca oleh jurubahasa di hadapan Majistret Chia Huey Ting.

Fahmi yang merupakan antara Exco termuda dalam pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang mengangkat sumpah jawatan itu pada Ogos 2023.

Usaha pihak media untuk mendapatkan komen Fahmi bagaimanapun gagal apabila diberitahu oleh kakitangannya bahawa beliau tiada di pejabatnya.

Ringkasan AI

  • Jawatan Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Fahmi Zainol telah berakhir
  • Pengumuman dibuat oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow
  • Cadangan nama pengganti akan dikemukakan kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang
  • Penggantian ini dibuat susulan surat rasmi dari PKR yang meminta penggantian
  • Fahmi digantung dari semua jawatan PKR susulan tuduhan mencederakan isteri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!