Empat sekolah di Kepala Batas terjejas

Mohammad Dziauddin (dua dari kiri) bersama Reezal (tiga dari kiri) melawat SMK Datuk Haji Abdul Kadir yang mengalami kerosakan teruk selepas dipukul ribut.
Mohammad Dziauddin (dua dari kiri) bersama Reezal (tiga dari kiri) melawat SMK Datuk Haji Abdul Kadir yang mengalami kerosakan teruk selepas dipukul ribut.
A
A
A

KEPALA BATAS – Empat buah sekolah di sini dilaporkan terjejas dalam kejadian ribut yang berlaku petang Khamis dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Abdul Kadir dikenal pasti sebagai paling teruk mengalami kerosakan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Mohammad Dziauddin Mat Saad berkata, selain sekolah tersebut, tiga lagi yang terlibat ialah SMK Hashim Awang, SMK Gemilang dan SMK Permatang Tok Jaya.

Bagaimanapun katanya, tiga sekolah berkenaan hanya melibatkan bilik-bilik tertentu dan tidak menjejaskan sesi pembelajaran secara keseluruhan.

Menurutnya, JPN Pulau Pinang memberi keutamaan terhadap aspek keselamatan murid sebaik menerima laporan kejadian tersebut.

“Yang penting bagi kami ialah isu keselamatan murid.

"Alhamdulillah kejadian berlaku selepas waktu persekolahan, jadi risiko kepada pelajar dapat dielakkan,” katanya selepas mengiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican melawat SMK Datuk Haji Abdul Kadir pada pagi Jumaat.

Tambah beliau, kerja-kerja pembersihan akan akan dijalankan sepanjang Jumaat hingga Ahad bagi memastikan pelajar khususnya yang tinggal di asrama dapat kembali dalam keadaan selamat.

Menurutnya, bagi SMK Datuk Haji Abdul Kadir, sebanyak lima kelas melibatkan kira-kira 230 pelajar tingkatan dua terpaksa dipindahkan ke lokasi sementara.

“Pihak sekolah telah mengenal pasti bilik-bilik khas seperti makmal dan bengkel untuk dijadikan kelas sementara.

Artikel Berkaitan:

"Sesi pembelajaran dijangka berjalan seperti biasa bermula Isnin ini,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa penempatan sementara itu mencukupi malah terdapat lebihan satu kelas sebagai langkah persediaan sekiranya diperlukan.

Bangunan yang menempatkan lebih 200 murid rosak teruk dalam kejadian ribut pada jam 7 petang Khamis.
Bangunan yang menempatkan lebih 200 murid rosak teruk dalam kejadian ribut pada jam 7 petang Khamis.

Dalam pada itu, beliau berkata, anggaran awal kos kerosakan yang dikenal pasti adalah kira-kira RM300,000 melibatkan struktur luaran bangunan namun jumlah sebenar dijangka meningkat.

“Jika mengambil kira kerosakan dalaman seperti pendawaian, perabot, syiling dan kipas yang terjejas akibat hujan, kos keseluruhan mungkin mencecah antara RM400,000 hingga RM500,000.

“Penilaian terperinci sedang dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya dan JPN Pulau Pinang bagi menentukan jumlah sebenar kos pembaikan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kebanyakan kerosakan di sekolah lain hanya melibatkan bumbung dan boleh dibaiki dalam tempoh terdekat tanpa menjejaskan operasi sekolah.

“Setakat ini, hanya SMK Datuk Haji Abdul Kadir memerlukan pemindahan kelas manakala sekolah lain masih boleh beroperasi seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, Reezal berkata, sehingga kini, pihaknya menerima 90 laporan kerosakan melibatkan rumah, kedai dan sekolah di sekitar Kepala Batas.

“Selain rumah penduduk yang rosak, institusi pendidikan turut terjejas dengan teruk. Di sekolah ini, satu bangunan tidak boleh digunakan langsung dan ia memberi kesan kepada ratusan pelajar.

“Pihak sekolah sedang membuat pelarasan dari segi jadual dan penempatan sementara namun kerja pemulihan dijangka mengambil masa,” katanya.

Mengulas lanjut, Reezal berkata, permohonan bantuan telah dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Bahagian Peruntukan Khas bagi mempercepatkan kerja baik pulih.

“Kita telah memohon peruntukan segera kerana kerja-kerja pembaikan ini perlu dilaksanakan dalam tempoh singkat terutama melibatkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan.

“Walaupun pihak sekolah sedang melakukan penyesuaian sementara, kita berharap proses pemulihan dapat disegerakan agar pelajar dapat kembali menggunakan kemudahan sedia ada,” ujarnya.

Tambah beliau, kerosakan bukan sahaja melibatkan bangunan utama malah turut menjejaskan kawasan kantin dan kemudahan lain di sekolah berkenaan.

“Bantuan telah dimaklumkan kepada pihak kementerian dan diharap dapat disalurkan segera supaya proses pembaikan dapat dimulakan tanpa berlengah,” katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, sebanyak 75 premis termasuk kediaman di kawasan Kepala Batas dilaporkan rosak akibat kejadian ribut yang berlaku petang Khamis.

Antara lokasi yang terlibat adalah di Kampung Kovil, Kampung Permatang Bertam, Kampung Transit, Taman Sri Sedang, Kampung Datuk dan Permatang Manggis, Hospital Kepala Batas dan Balai Bomba Kepala Batas.

Bagaimanapun, tiada laporan mangsa terlibat dalam bencana yang berlaku kira-kira jam 7 petang itu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kebanyakan premis berkenaan mengalami kerosakan pada bahagian bumbung setelah diterbangkan angin selain melibatkan kejadian pokok tumbang.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!