Proses pelantikan Pendakwa Raya tidak boleh dikuasai satu pihak - Organisasi sivil

SHAH ALAM - Proses pelantikan Pendakwa Raya tidak boleh dikuasai oleh hanya satu pihak melalui kuasa budi bicara sebaliknya perlu melibatkan pelbagai lapisan.
Menerusi kenyataan bersama, ia penting bagi mewujudkan mekanisme semakan, kawalan serta kebertanggungjawaban yang lebih telus dan terbuka.
Menurutnya, syor yang dicadangkan adalah untuk melibatkan Parlimen sebagai institusi yang mempunyai keabsahan demokratik bagi menyemak dan menapis calon-calon daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP), sebelum diperkenan pelantikannya kepada Yang Dipertua Agong (YDPA).
"Kami, organisasi masyarakat sivil yang menandatangani kenyataan ini, menyambut baik pengenalan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 (“RUU”) sebagai satu langkah penting ke arah reformasi institusi yang telah lama dinantikan di Malaysia.
"Namun, analisis terhadap kandungan RUU menunjukkan wujud beberapa kelompongan dan kelemahan asas yang memerlukan penambahbaikan substantif.
"Terdapat empat aspek yang menimbulkan kebimbangan berkaitan pemisahan fungsi Peguam Negara dan pewujudan Pendakwa Raya yang perlu ditambah baik antaranya pelantikan Pendakwa Raya," katanya pada Khamis.
Kenyataan itu ditandatangani oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center), Projek SAMA dan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).
Selain itu, Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Rasuah Busters dan Maha Balakrishnan.
Tambah kenyataan itu, aspek lain yang perlu ditambah baik adalah penamatan Pendakwa Raya.
"Secara praktikal dan realistik, sebarang tatacara pelantikan atau penamatan harus telus, diterbit, disemak dan diluluskan oleh Parlimen.
"Tempoh seorang Pendakwa Raya perlu ditetapkan selama tujuh tahun dan umur bersara wajib pada 66 tahun (sambungan enam bulan), tanpa pilihan untuk memperbaharui tempoh tersebut.
"Selain itu, mekanisme kebertanggungjawaban Pendakwa Raya. Pendakwa Raya perlu diberikan kebebasan yang berimbang agar jawatan ini dapat bertindak secara bebas tanpa campur tangan atau arahan," ujarnya.
Kenyataan itu turut menegaskan reformasi ini memerlukan kesepaduan antara pindaan RUU, penggubalan Akta Pemberi Kuasa dan pengawalan kuasa budi bicara perlembagaan.
"Peluasan frasa 'menurut budi bicara' tanpa kawalan berupaya menimbulkan risiko yang menjejaskan kebertanggungjawaban," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

