Bank EXIM Malaysia perkukuh integriti melalui ikrar, latihan bersama pengurusan tertinggi

KUALA LUMPUR - Bank EXIM Malaysia menganjurkan program integriti yang menghimpunkan lembaga pengarah, jawatankuasa shariah dan barisan kepimpinan kanan dalam usaha memperkukuh budaya integriti serta tadbir urus korporat dalam organisasi secara berterusan.
Ahli Lembaga Pengarah Bank EXIM Malaysia, Jeremy Lee Eng Huat berkata, integriti mesti dijadikan asas utama dalam membina reputasi institusi kewangan pembangunan yang dipercayai.
Menurut beliau, lembaga pengarah komited untuk menetapkan 'tone from the top' dengan memastikan budaya integriti diterapkan secara menyeluruh di setiap peringkat organisasi.

“Integriti bukan sekadar nilai, tetapi satu tanggungjawab bersama yang perlu dizahirkan dalam setiap tindakan termasuk ketika berdepan cabaran dan situasi di luar pengawasan.
"Budaya integriti mestilah dipupuk secara kolektif di mana setiap warga organisasi memainkan peranan penting dalam memastikan amalan tersebut terus diperkukuhkan.
"Justeru, pembaharuan Ikrar Integriti yang kita laksanakan hari ini bukan sekadar satu formaliti bersifat 'ceremony'. Ia penegasan semula terhadap komitmen bersama kita untuk menegakkan integriti dan akauntabiliti dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian ketika program Latihan Integriti: Perkasa Tadbir Urus, Akauntabiliti dan Kepimpinan Beretika anjuran Bahagian Syariah, Penyiasatan dan Integriti Bank EXIM Malaysia di Sheraton Imperial di sini pada Rabu.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Ahmad Nizam Ismail; Pengerusi Bank EXIM Malaysia, Datuk Charon Mokhzani dan Pengerusi Jawatankuasa Shariah Bank EXIM Malaysia, Dr Ghazali Jaapar.
Selain itu, bekas Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan; Ketua Pegawai Pematuhan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), Rohayati Talha; Pegawai Perhubungan Strategik Rasuah Busters, Wan Normi Hasan dan wakil-wakil Bank EXIM Malaysia serta SME Bank.
Program dimulakan dengan pembaharuan Ikrar Integriti yang disaksikan oleh Ahmad Nizam sebagai cerminan komitmen berterusan kepimpinan tertinggi bank dalam menegakkan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan integriti di setiap aspek operasi.

Acara diteruskan dengan sesi latihan yang menampilkan Muhammad Mohan sebagai penceramah utama.
Beliau menyampaikan ceramah bertajuk 'Corporate Liability: A Practical Guide and Good Practices' yang memberi penekanan kepada aspek liabiliti korporat serta amalan terbaik dalam pencegahan rasuah.
Perkongsian tersebut turut menyentuh pelaksanaan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 yang menuntut organisasi melaksanakan langkah pencegahan rasuah melalui konsep 'adequate procedures' berasaskan lima prinsip utama iaitu TRUST.
Dalam pada itu, Jeremy turut memaklumkan bahawa Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Bank EXIM Malaysia, Datuk Nurbayu Kasim Chang menerima sokongan penuh daripada lembaga pengarah dalam usaha memperkukuh dan mengintegrasikan nilai integriti sebagai budaya kerja utama bank.
"Bank EXIM Malaysia percaya pendekatan menyeluruh ini bermula dengan komitmen melalui ikrar dan pengukuhan menerusi latihan akan terus meningkatkan keyakinan pihak berkepentingan sekali gus memastikan organisasi kekal berdaya tahan dalam persekitaran yang semakin mencabar," ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
