Iran tutup Selat Hormuz hingga AS tarik sekatan laut

Penghantaran barangan melalui Selat Hormuz telah mengalami gangguan teruk sejak perang AS-Israel menentang Iran bermula pada 28 Februari dan sekatan tentera laut AS yang diumumkan pada 13 April.
Penghantaran barangan melalui Selat Hormuz telah mengalami gangguan teruk sejak perang AS-Israel menentang Iran bermula pada 28 Februari dan sekatan tentera laut AS yang diumumkan pada 13 April.
A
A
A

ISTANBUL – Iran mengumumkan Selat Hormuz akan ditutup bermula petang Sabtu sehingga Amerika Syarikat (AS) menarik balik sekatan tentera laut terhadap kapal dan pelabuhannya.

Menurut laporan Anadolu Ajansi yang memetik penyiar tempatan, kenyataan itu dikeluarkan oleh Tentera Laut Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).

Dalam kenyataan yang disiarkan stesen milik kerajaan, Press TV, IRGC menyifatkan kenyataan Presiden AS, Donald Trump, berhubung selat berkenaan sebagai tidak berasas.

Menurut IRGC, sebelum ini Iran telah membenarkan kapal awam melalui laluan itu dan beberapa kapal berjaya melintasi dengan penyelarasan pihaknya.

Bagaimanapun, mereka mendakwa AS masih belum menarik balik sekatan laut terhadap kapal dan pelabuhan Iran, yang disifatkan sebagai pelanggaran perjanjian gencatan senjata.

“Sehubungan itu, Selat Hormuz akan ditutup mulai petang ini sehingga sekatan tersebut ditarik balik,” menurut kenyataan berkenaan.

Dalam masa sama, IRGC memberi amaran supaya tiada kapal bergerak dari lokasi berlabuh di Teluk Parsi dan Laut Oman, serta menegaskan sebarang cubaan menghampiri selat itu akan dianggap sebagai kerjasama dengan musuh.

Tambahnya, mana-mana kapal yang melanggar arahan tersebut akan menjadi sasaran.

Setakat ini, pihak AS belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!