Perdana Menteri Lubnan ikrar tuntut kembali 'setiap inci' tanah diduduki

ISTANBUL - Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam berikrar pada Jumaat untuk menuntut kembali "setiap inci” wilayah yang diduduki dan mempercepat usaha pemulihan ekonomi, dalam satu perutusan sempena Hari Pekerja, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam kenyataan yang disiarkan oleh pejabat perdana menteri di platform media sosial X, Salam menyampaikan pesanan kepada pekerja di seluruh Lubnan dengan mengakui kesukaran yang dihadapi ramai pihak susulan krisis ekonomi yang berpanjangan.
"Saya memahami tahap penderitaan yang dialami ramai antara anda, daripada kehilangan pekerjaan dan penurunan kuasa beli kepada tekanan harian yang sangat membebankan,” katanya.
Salam berikrar bahawa kerajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan taraf hidup, mengembalikan tanah yang dijajah dan meneruskan usaha pembaharuan.
"Kami akan meneruskan usaha serius untuk memperbaiki keadaan hidup anda, mengembalikan setiap inci tanah kami yang dijajah dan memajukan usaha pembaharuan serta pemulihan ekonomi,” katanya.
Sejak 2019, Lubnan mengalami kejatuhan kewangan yang disifatkan oleh Bank Dunia sebagai antara yang terburuk dalam sejarah moden.
Nilai pound Lubnan telah menyusut lebih 98 peratus, jatuh daripada sekitar 1,500 kepada kira-kira 90,000 bagi setiap dolar.
Salam berkata, kerajaan menyasarkan untuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu, memulihkan kestabilan, dan meletakkan negara di landasan ke arah "pemulihan sebenar.”
Krisis ekonomi Lubnan semakin meruncing baru-baru ini, diburukkan lagi dengan serangan berterusan Israel dan isu perpindahan penduduk.
Kemas kini pada Rabu daripada Pertubuhan Makanan dan Pertanian serta Program Makanan Sedunia mendapati, kira-kira 1.24 juta orang - hampir satu daripada setiap empat yang dinilai dijangka menghadapi ketiadaan jaminan makanan akut pada tahap krisis antara April dan Ogos 2026.
Laporan itu menyebut, keganasan yang semakin meningkat dan perpindahan penduduk sejak awal Mac telah memacu kemerosotan dalam keadaan keterjaminan makanan.
Sebagai tindak balas kepada serangan balas Hizbullah berkaitan perang Iran, Israel telah melancarkan serangan di Lubnan sejak 2 Mac, dengan hampir 2,600 orang maut dan menyebabkan lebih sejuta penduduk hilang tempat tinggal.
Gencatan senjata selama 10 hari yang bermula pada 17 April kemudiannya dilanjutkan sehingga 17 Mei, namun Israel terus melanggarnya setiap hari melalui serangan udara dan perobohan rumah di selatan Lubnan.
Pada April, tentera Israel mengumumkan apa yang dipanggil "Garisan Kuning" di selatan Sungai Litani, sempadan bayangan yang menetapkan kawasan yang merentasi sempadan sebagai "zon penimbal keselamatan," dalam langkah yang menyerupai model di Gaza.
Israel mendakwa, zon itu bertujuan menghalang penduduk yang hilang tempat tinggal daripada pulang dan untuk menyasarkan sebarang aktiviti bersenjata, dengan mengklasifikasikannya sebagai "zon tempur" yang tidak tertakluk kepada persefahaman gencatan senjata.- Bernama- Anadolu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
