Darurat ekonomi, retorik demokrasi

KENYATAAN Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang mencadangkan Kerajaan Negeri Melaka mengemukakan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) menimbulkan perbahasan hangat dalam kalangan pemerhati politik dan rakyat.
Cadangan tersebut hadir dalam konteks tekanan kos sara hidup yang semakin memuncak, khususnya susulan krisis bahan api yang memberi kesan langsung kepada harga barangan dan perkhidmatan.
Persoalan utama yang timbul, wajarkah darurat digunakan sebagai instrumen untuk menangguhkan proses demokrasi?
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh misalnya, membidas cadangan Ahli Parlimen DAP itu dengan menegaskan bahawa krisis ekonomi bukanlah alasan munasabah untuk mengambil tindakan sedemikian, sambil membandingkan situasi tersebut dengan era pentadbiran BN sebelum ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pula berkata, situasi semasa negara ketika ini berbeza berbanding ketika pandemik Covid-19 yang memerlukan sekatan pergerakan serta kawalan ketat.
Ramai yang berkata bahawa isu darurat tidak sepatutnya timbul kerana sekarang ini sistem kerajaan dapat berfungsi dengan biasa. Tidak dapat dinafikan, peningkatan kos sara hidup memberi tekanan besar kepada rakyat namun ada juga yang berfikiran bahawa cadangan menangguhkan PRN sebagai langkah pragmatik yang memberi ruang kepada kerajaan dan rakyat untuk menstabilkan keadaan ekonomi sebelum berdepan proses pilihan raya yang lazimnya memerlukan perbelanjaan besar dan tumpuan politik yang tinggi.
Namun, darurat bukanlah instrumen biasa. Ia adalah langkah luar biasa yang lazimnya digunakan dalam situasi krisis besar seperti ancaman keselamatan, bencana alam atau kecemasan kesihatan awam. Menggunakannya atas alasan ekonomi, walaupun signifikan, membuka persoalan tentang sempadan penggunaannya.
Kebimbangan utama dalam kalangan penganalisis ialah risiko mewujudkan preseden. Jika tekanan ekonomi dijadikan alasan untuk menangguhkan pilihan raya melalui darurat, apakah jaminan bahawa pendekatan sama tidak akan digunakan pada masa hadapan atas alasan lebih subjektif?
Demokrasi berfungsi atas prinsip keteraturan termasuk keperluan untuk mengadakan pilihan raya dalam tempoh ditetapkan. Sebarang penangguhan, walaupun dengan niat baik, perlu ditimbang dengan teliti agar tidak menghakis keyakinan terhadap institusi demokrasi.
Dalam masa sama, tidak adil juga untuk menolak cadangan ini secara total tanpa mengambil kira realiti dihadapi rakyat. Dalam situasi di mana ramai bergelut dengan kos harian, keutamaan mungkin beralih daripada politik kepada kelangsungan hidup.
Kempen pilihan raya, dengan segala retorik dan perbelanjaannya, mungkin dilihat tidak sensitif dalam suasana ekonomi mencabar. Justeru, cadangan ini juga mencerminkan kegelisahan sebenar di akar umbi.
Cadangan Khoo Poay Tiong itu sebenarnya membuka ruang perbincangan penting tentang hubungan antara kestabilan ekonomi dan amalan demokrasi.
Dalam menilai kewajarannya, persoalan yang perlu dijawab bukan sekadar 'boleh atau tidak' tetapi 'perlu atau tidak' dan yang lebih penting, 'apa implikasinya kepada masa depan sistem demokrasi negara'.
Dalam keadaan rakyat tertekan, kepekaan dasar amat diperlukan. Namun dalam masa sama, prinsip asas demokrasi tidak boleh dikompromi dengan mudah.
Di sinilah letaknya cabaran sebenar iaitu menyeimbangkan keperluan mendesak hari ini tanpa mengorbankan asas negara untuk hari esok.
*Azmi Tarmizi ialah Editor Eksekutif di Sinar Harian. Anak jati Felda Soeharto ini pernah menjadi SU Akhbar Perdana Menteri kesembilan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

