Nahas kereta api di Indonesia: 14 maut, 84 mangsa cedera

JAKARTA - Presiden Indonesia, Prabowo Subianto pada Selasa menggesa siasatan dilancarkan ke atas insiden sebuah kereta api jarak jauh merempuh tren komuter hingga meragut 14 nyawa manakala kira-kira 84 mangsa penumpang lain dilaporkan cedera.
Arahan itu dibuat selepas beliau menziarahi mangsa yang dirawat di hospital di Bekasi selain turut menzahirkan ucapan takziah kepada waris mereka.
Sementara itu, operasi menyelamat membabitkan pelbagai agensi selama 12 jam di lokasi nahas berhampiran Stesen Bekasi Timur, dekat ibu kota, akhirnya tamat selepas semua mangsa yang tersepit berjaya dibawa keluar.
Salah seorang mangsa, Sausan Sarifah, 29, turut berkongsi detik cemas ketika nahas tersebut.
"Kesemua penumpang sudah bersedia untuk turun apabila berlaku dentuman yang sangat kuat. Kami tidak sempat menyelamatkan diri.
"Semua penumpang bertindih di dalam tren, dihempap antara satu sama lain. Saya sendiri tidak tahu keadaan mangsa yang berada di bawah saya,” katanya.
Menurut jurucakap pengendali kereta api milik kerajaan, KAI, Franoto Wibowo, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku selepas sebuah teksi dipercayai melanggar tren komuter di lintasan aras hingga menyebabkan tren itu terhenti di atas landasan sebelum dirempuh. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

