Aslam, Marissa masih suami isteri - Peguam syarie

Selagi mahkamah belum membuat keputusan, status Ahmad Aslam dan Marissa kekal sebagai suami isteri. Gambar fail
Selagi mahkamah belum membuat keputusan, status Ahmad Aslam dan Marissa kekal sebagai suami isteri. Gambar fail
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Rabu akan menetapkan tarikh lain bagi keputusan pengesahan lafaz cerai dan rujuk membabitkan pempengaruh, Ahmad Aslam terhadap isteri keduanya, Marissa Dania Hakim.

Peguam syarie, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri yang mewakili Aslam berkata, Hakim Syarie, Nadiah Khamis memutuskan demikian selepas mendengar keterangan daripada kedua-dua pihak.

“Prosiding berjalan dengan lancar dengan semua pihak telah memberi keterangan dan alhamdulillah, perbicaraan selesai hari ini.

“Bagaimanapun, mahkamah menetapkan tarikh lain untuk keputusan berkenaan, jadi kita doakan yang baik-baik sahaja.

“Selagi mahkamah belum membuat keputusan, status mereka kekal sebagai suami isteri," katanya.

Mengulas mengenai laporan hasrat Marissa Dania untuk bercerai, Muhammad Ammar berkata, tiada sebarang pemfailan kes baharu berkaitan perceraian melibatkan anak kepada pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi itu.

Sebelum ini, Ahmad Aslam dikatakan telah melafazkan cerai sebanyak dua kali dan rujuk terhadap Marissa Dania iaitu pada September 2024 dan kembali rujuk pada bulan sama.

Aslam kemudian melafazkan cerai buat kali kedua pada April 2025 dan pasangan itu difahamkan kembali rujuk pada Jun.

Untuk rekod, Aslam dan Marissa Dania bernikah di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023.

Artikel Berkaitan:

Aslam sebelum ini mendirikan rumah tangga bersama isteri pertama, Umisya Mazlan pada Julai 2020.

Pasangan itu pernah bercerai pada September 2023 sebelum kembali rujuk dalam tempoh idah.

Hasil perkahwinan, Aslam dan Umisya dikurniakan tiga cahaya mata.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!