Festival Muzik Air Kuantan meriahkan Kempen Tahun Melawat Malaysia

KUANTAN - Pantai Teluk Cempedak bakal menjadi tumpuan melalui penganjuran Festival Muzik Air Kuantan di lokasi itu pada Jumaat hingga Ahad ini.
Festival anjuran Tourism Malaysia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac)dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuantan (MBK)antara acara yang disenaraikan dalam kalender Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Wakil penganjur, Jazri Danish berkata, antara pengisian festival itu termasuk pertandingan bola sepak pantai, sukaneka air, bola tampar pantai, basikal pantai, boling pantai buah kelapa dan pertunjukan api pada waktu malam.
Menurutnya, pengunjung boleh mengambil bahagian dalam beberapa acara yang diadakan dan terbuka kepada orang awam secara percuma.
"Pengunjung juga berpeluang bersantai bersama keluarga dan menikmati pelbagai juadah di gerai jualan yang disediakan di sepanjang Pantai Teluk Cempedak.
"Pihak penganjur menjangkakan kehadiran 100,000 pengunjung ke festival yang julung kali dianjurkan itu," katanya melalui kenyataan pada Rabu.
Jelasnya, sasaran kunjungan itu mengambil kira penganjurannya yang berlangsung ketika cuti panjang sempena Hari Pekerja
"Orang ramai khususnya di negeri-negeri Pantai Timur dijemput hadir beramai-ramai dan tidak melepaskan peluang untuk memeriahkan penganjuran festival ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

