SUKMA 2026: Pahang sambut baik pendekatan bersederhana

KUANTAN – Kerajaan Pahang menyambut baik keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk meneruskan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 dengan pendekatan bersederhana.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, keputusan itu dicapai semua pihak dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Tertinggi SUKMA 2026 dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Dr Muhammad Taufiq Johari.
Menurutnya, langkah penjimatan itu selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahukan penganjuran dilakukan secara sederhana.
"Kita bersetuju untuk menganjurkan SUKMA di Selangor, namun dalam melibatkan perbelanjaan sederhana.
"Ada cadangan supaya untuk kita jimatkan belanja, mungkin majlis perasmian dan penutupan itu dalam kadar yang cukup sederhana atau mungkin tidak perlu majlis perasmian dan penutupan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Naik Taraf Stadium Hoki Indera Mahkota di sini pada Khamis.

Terdahulu, Dr Muhammad Taufiq berkata, penganjuran SUKMA Selangor 2026 diteruskan dengan pendekatan lebih berhemah apabila kos keseluruhan temasya itu akan dikurangkan hampir separuh daripada peruntukan asal.
Susulan itu, Exco Belia dan Sukan Selangor, Mohd Najwan Halimi dilaporkan berkata, SUKMA 2026 diteruskan dengan pelaksanaan langkah penjimatan sehingga 50 peratus susulan ketidaktentuan ekonomi global dan keperluan mengoptimumkan perbelanjaan.
Menurutnya, kerajaan negeri selaku tuan rumah menjangkakan kos penganjuran SUKMA akan dikurangkan hampir separuh daripada anggaran asal RM100 juta kepada sekitar RM40 juta hingga RM50 juta.
Mengulas lanjut, Fadzli berkata, SUKMA kekal penting sebagai platform pembangunan atlet muda negara yang telah menjalani latihan jangka panjang.
“Pokok pangkalnya kita nak SUKMA ini diteruskan sebab atlet kita dah berlatih hampir dua tahun untuk melakukan persiapan.
"Yang penting atlet kita dapat bertanding dan dapat menguji tahap serta prestasi mereka,”jelas beliau lagi.

Menjawab mengenai naik taraf stadium hoki tersebut, Fadzli berkata, projek yang menelan kos sebanyak RM3.3 juta itu telah berjaya disiapkan dua bulan lebih awal daripada jadual asal yang sepatutnya berakhir pada April ini.
Menurutnya, kerja-kerja menaik taraf itu bukan sahaja melibatkan penggantian rumput tiruan baharu, malah merangkumi sistem saliran di bawah padang yang lebih efisien.
"Saya ingat bukan sahaja padang, saliran di bawah padang itu pun dinaik taraf. Makna kata semua yang berkait dengan padang hoki ini semua barulah.
"Dengan rumput tiruan yang baru ini ia lebih selamat kepada setiap pemain itu sendiri," ujar beliau lagi.
Beliau menambah, padang tersebut kini secara rasmi menerima pengiktirafan daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) yang membolehkan Stadium Hoki Indera Mahkota menganjurkan kejohanan bertaraf dunia.
Bagaimanapun, Fadzli menegaskan, beberapa kemudahan sokongan lain perlu dipertingkatkan segera, termasuk isu lampu limpah yang diminta untuk diselesaikan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam tempoh tahun ini.
Beliau turut menggesa Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) untuk menaik taraf fasiliti bilik persalinan pemain bagi memastikan keselesaan pasukan yang bertanding nanti.
"Kita dalam fasa untuk melihat kemudahan-kemudahan lain supaya boleh menyediakan kemudahan terbaik bertaraf antarabangsa akhirnya nanti. Itulah harapan kita," ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

