Tangani implikasi PATI bersalin di Malaysia

KELUHAN seorang pemuda tular di media sosial baru-baru ini wajar membuka mata banyak pihak.
Dilahirkan di Malaysia hasil perkahwinan ibu bapa warganegara asing, pemuda berusia 20-an itu berdepan kesulitan dan pelbagai kekangan dalam urusan harian.
Lebih menyedihkan, ibu bapanya dilaporkan menghilangkan diri, meninggalkan anak mereka bersendirian menghadapi realiti hidup tanpa identiti sah.
Kes sedemikian bukan terpencil kerana dalam kerangka undang-undang, kelahiran di negara ini tidak secara automatik memberikan taraf warganegara jika ibu bapa bukan rakyat tempatan.
Tanpa dokumen sah menyebabkan akses terhadap pendidikan, rawatan kesihatan dan peluang pekerjaan adalah terhad serta akhirnya terperangkap dalam kitaran kemiskinan dan terpinggir.
Apa yang lebih membimbangkan, isu ini boleh berlarutan sehingga generasi seterusnya jika tidak ditangani secara menyeluruh.
Kerajaan sebenarnya telah mengambil beberapa langkah penguatkuasaan terhadap pendatang tanpa izin (PATI).
Kementerian Kesihatan Malaysia mempunyai prosedur rawatan tertentu untuk wanita warga asing yang hamil manakala setiap kelahiran direkodkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Persoalannya sejauh mana langkah ini mampu menangani akar masalah kerana kebanyakan wanita tanpa dokumen hanya tampil mendapatkan rawatan ketika hampir bersalin.
Diakui bahawa aspek kemanusiaan tidak boleh diketepikan dan sebab itu wanita PATI yang hamil tetap diberikan rawatan tanpa diskriminasi.
Sistem yang terlalu longgar boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan manakala pendekatan terlalu ketat pula boleh menimbulkan ketakutan mendapatkan rawatan awal, sekali gus membahayakan nyawa ibu dan bayi.
Tanpa penyelesaian dasar yang lebih komprehensif, negara berdepan kemungkinan melahirkan generasi yang membesar tanpa akses penuh kepada sistem pendidikan dan ekonomi.
Justeru, kerajaan perlu memberi keutamaan terhadap langkah pencegahan awal agar isu ini tidak terus berpanjangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
