Iran umum ‘bab baharu’ Selat Hormuz

Ayatollah Seyyed Mojtaba Khamenei. Foto Agensi
Ayatollah Seyyed Mojtaba Khamenei. Foto Agensi
A
A
A

TEHERAN – Pemimpin Revolusi Islam, Ayatollah Seyyed Mojtaba Khamenei mengisytiharkan bermulanya 'bab baharu' bagi laluan perairan strategik dunia apabila Iran akan memperkenalkan peraturan pengurusan baharu ke atas Selat Hormuz susulan dakwaan pencerobohan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap negara itu.

Dalam mesej sempena sambutan Hari Teluk Parsi pada Khamis, beliau berkata, Iran setiap tahun memperingati kejayaan bersejarah pada 1622 dalam menamatkan penjajahan di pesisir selatan negara itu.

Menurutnya, sambutan tahun ini hadir tepat dua bulan selepas serangan ketenteraan yang dilancarkan AS dan Israel pada 28 Februari lalu.

Mojtaba menyifatkan Teluk Parsi sebagai 'nikmat yang tiada pengganti' kepada negara-negara Islam di rantau berkenaan, selain menegaskan bahawa perairan tersebut bersama Selat Hormuz telah membentuk sebahagian identiti dan tamadun, di samping menjadi laluan penting ekonomi global.

Beliau mendakwa kepentingan strategik itu sejak sekian lama mencetuskan kerakusan kuasa luar, termasuk campur tangan negara Eropah dan Amerika yang menyebabkan ketidakstabilan, kerosakan serta ancaman berterusan kepada negara-negara serantau.

“Ia hanyalah sebahagian daripada rancangan kuasa besar dunia terhadap penduduk rantau Teluk Parsi, dengan contoh terbaharu ialah tindakan agresif AS dan Israel,” katanya.

Mojtaba turut menegaskan bahawa Iran, yang memiliki garis pantai daratan terpanjang di Teluk Parsi, telah membuat pengorbanan besar mempertahankan kedaulatan kawasan itu, termasuk mengusir Portugis, menentang penjajahan Belanda dan British.

Beliau berkata, Revolusi Islam menjadi titik perubahan penting dalam usaha menamatkan pengaruh kuasa luar di rantau tersebut.

“Dua bulan selepas pencerobohan ketenteraan terbesar oleh kuasa dunia dan kegagalan rancangan Amerika, satu bab baharu sedang terbuka bagi Teluk Parsi dan Selat Hormuz,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mojtaba turut mendakwa kehadiran tentera AS di rantau itu merupakan faktor utama ketidakstabilan.

Menurutnya, sepanjang 60 hari lalu, negara-negara di rantau Teluk Parsi menyaksikan sendiri kesiapsiagaan angkatan laut Iran dalam menentang dominasi asing.

Beliau menambah, konflik terbaharu membuktikan kepada masyarakat antarabangsa bahawa kehadiran tentera AS di negara-negara Teluk hanya meningkatkan risiko keselamatan.

“Pangkalan AS tidak mampu melindungi diri sendiri, apatah lagi menjamin keselamatan sekutunya,” katanya.

Beliau menegaskan masa depan Teluk Parsi akan lebih cerah tanpa kehadiran AS.

Menurutnya, masa depan rantau itu adalah untuk kemajuan dan kesejahteraan negara-negara serantau, termasuk yang berkongsi nasib di Teluk Parsi dan Laut Oman.

“Kuasa luar yang datang dari ribuan kilometer untuk mencetuskan kekacauan tidak mempunyai tempat di sini, kecuali di dasar lautnya,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kebangkitan rakyat Iran sebagai luar biasa, merujuk kepada puluhan juta rakyat yang menyatakan kesediaan mempertahankan negara.

Katanya, kira-kira 90 juta rakyat Iran di dalam dan luar negara bersatu mempertahankan aset nasional termasuk teknologi moden seperti nano, bio, nuklear dan peluru berpandu.

Dalam perkembangan sama, Mojtaba menegaskan Iran akan melaksanakan pengurusan baharu di Selat Hormuz melalui kerangka undang-undang yang dikatakan memberi manfaat kepada negara-negara serantau.

“Peraturan undang-undang baharu dan pengurusan Selat Hormuz akan membawa kemajuan serta kesejahteraan kepada semua negara di rantau ini,” katanya.

Sebagai sebahagian tindak balas terhadap konflik tersebut, Iran sebelum ini bertindak menutup Selat Hormuz kepada kapal yang mempunyai kaitan dengan negara-negara yang dianggap sebagai penceroboh serta sekutunya.-Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!