World #QuranHour tampil empat resolusi bina kekuatan jiwa melalui al-Quran

SHAH ALAM – Empat resolusi utama diketengahkan sempena program World #QuranHour sebagai panduan untuk memperkukuh hubungan umat Islam dengan al-Quran, sekali gus membina kekuatan jiwa, kepimpinan dan kehidupan berteraskan wahyu.
Pentadabbur merangkap Ketua Pegawai Content Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail berkata, resolusi pertama adalah memperkukuh hati, jiwa dan roh melalui al-Quran dengan menghidupkan amalan membaca serta mendalami kitab suci itu, khususnya pada waktu malam.
Menurutnya, amalan tersebut selari dengan mesej yang terkandung dalam Surah al-Muzzammil yang menekankan kepentingan bangun pada waktu malam bagi membaca al-Quran untuk menguatkan hati.
"Kita kini berada dalam bulan Ramadan khususnya 10 malam terakhir.
"Justeru, kita perlu menghargai arahan ALLAH SWT untuk menguatkan jiwa dan membawanya kepada keluarga kita pada bulan Ramadan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi empat resolusi utama yang diangkat sempena program World #QuranHour 2026 di Masjid Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini pada Rabu.
Tambah Fazrul berkata, resolusi kedua pula memberi tumpuan kepada penyucian dan mempersiapkan diri sebelum berusaha memberi kesan kepada dunia.
"ALLAH SWT yang membolak-balikkan hati manusia. Kita tidak mahu pemimpin yang tiada hubungan dengan Tuhan kerana apabila hati kosong daripada hubungan itu, ia boleh dipenuhi perkara yang tidak baik," katanya.
Tambah beliau, resolusi ketiga menekankan untuk mengamalkan ibadah secara konsisten dengan penuh kerendahan hati, kesabaran dan keikhlasan.
Katanya, amalan tersebut bukan sekadar dilakukan pada bulan Ramadan atau secara bermusim, sebaliknya perlu menjadi komitmen sepanjang hayat.
"Ia bukan amalan sekali-sekala atau bermusim setahun sekali, tetapi komitmen sepanjang hayat yang perlu dibawa kepada masyarakat dan keluarga," tegasnya.
Fazrul memberitahu, resolusi keempat mengingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap gangguan duniawi agar ia tidak mengalihkan manusia daripada petunjuk al-Quran.
Jelasnya, setiap individu pasti berdepan pelbagai ujian kehidupan termasuk masalah kesihatan serta kesibukan harian, namun hubungan dengan al-Quran perlu terus diperkukuh.
"Kita perlu membentuk semula pemikiran dan hati dengan al-Quran serta memastikan hubungan dengan ALLAH SWT sentiasa terpelihara,” katanya.
Dalam pada itu, Fazrul turut menggalakkan umat Islam memulakan langkah kecil dalam memahami al-Quran, termasuk membaca, memahami dan mengamalkannya sedikit demi sedikit.
Beliau berkata, usaha berterusan itu mampu membuka pintu rahmat ALLAH SWT serta melahirkan masyarakat yang lebih berakhlak dan berteraskan nilai al-Quran.
Ringkasan AI
- SHAH ALAM - Empat resolusi utama diketengahkan dalam program World #QuranHour untuk memperkukuh hubungan umat Islam dengan al-Quran
- Resolusi pertama adalah memperkukuh hati, jiwa dan roh melalui al-Quran dengan mengamalkan membaca dan mendalami kitab suci itu
- Resolusi kedua memberi tumpuan kepada penyucian diri dan mempersiapkan diri sebelum berdampak kepada dunia
- Resolusi ketiga menekankan amalan ibadah secara konsisten dengan kerendahan hati, kesabaran dan keikhlasan
- Resolusi keempat mengingatkan untuk berwaspada terhadap gangguan duniawi agar tidak teralih daripada petunjuk al-Quran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

