World #QuranHour beri impak tinggi kepada komuniti

Sebahagian daripada peserta WQH di Masjid Bandar Al-Wathiqubillah di Kuala Nerus pada Rabu.
Sebahagian daripada peserta WQH di Masjid Bandar Al-Wathiqubillah di Kuala Nerus pada Rabu.
A
A
A

​KUALA NERUS – Penganjuran program World #QuranHour (WQH) 2026 yang berlangsung di Masjid Bandar Al-Wathiqubillah, di sini pada Rabu menyasarkan impak yang lebih besar dalm usaha membudayakan amalan berinteraksi dengan al-Quran dalam kalangan masyarakat.

​Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ahmad Azizi Zulkifli berkata, program yang bermula jam 10.30 pagi itu merupakan platform yang sangat berkesan buat pelbagai lapisan komuniti termasuk jabatan kerajaan dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

​Menurutnya, pengisian WQH bukan sekadar bacaan semata-mata, malah ia memberi galakan kepada orang ramai untuk mendalami kalam ALLAH tersebut dengan lebih tersusun.

Johan Qari Terengganu 2025, Abdul Hadi Abdul Halim (kiri) dan Pegawai Hal Ehwal Agama Islam MSNT, Najmuddin Ulwan Hamdan selaku pentadabur ketika program World#QuranHour (WQH) yang berlangsung di Masjid Bandar Al-Wathiqubillah, di Kuala Nerus pada Rabu.
Johan Qari Terengganu 2025, Abdul Hadi Abdul Halim (kiri) dan Pegawai Hal Ehwal Agama Islam MSNT, Najmuddin Ulwan Hamdan selaku pentadabur ketika program World#QuranHour (WQH) yang berlangsung di Masjid Bandar Al-Wathiqubillah, di Kuala Nerus pada Rabu.

​"Program ini memberi impak yang sangat tinggi kerana ia mengajak masyarakat untuk sama-sama bertadabbur secara bersistematik.

​"Melihat kepada pemantauan dan kaji selidik yang dilakukan sejak tahun lalu, kita menjangkakan akan berlaku peningkatan dan penambahbaikan dengan penglibatan yang lebih meluas, terutama dalam kalangan masyarakat dan komuniti setempat," katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.

​Beliau menambah, pihaknya komited untuk memastikan penambahbaikan dibuat secara berterusan bagi memastikan mesej al-Quran sampai ke peringkat akar umbi dengan lebih efektif.

​Sementara itu, bagi sukarelawan WQH dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nur Maisarah Muhd Nizar, 19, menyifatkan program tersebut sebagai satu pengisian rohani yang sangat bermakna buat golongan muda sepertinya.

Artikel Berkaitan:

​Jelas Nur Maisarah, melalui program itu, dia berpeluang memahami input dan intipati surah dengan lebih mendalam melalui sesi tadabbur yang disediakan.

​"Program seperti ini patut diteruskan pada masa akan datang dengan mengajak lebih ramai penyertaan daripada pihak sekolah dan agensi lain.

​"Ia sangat membantu kami untuk lebih faham mengenai isi kandungan al-Quran, bukan sekadar membaca tetapi menghayati maknanya," ujarnya.

Program WQH 2026 yang memasuki tirai penganjurannya yang ke-11, berlintas langsung selama satu jam dari lokasi perdana, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini.

Dengan tema 'Membentuk Manusia Sebelum Membina Dunia' dan pertama kali dilaksanakan dalam Bahasa Inggeris, program tahunan itu memfokuskan Surah Al-Muzzammil sebagai surah tema.

 


World #QuranHour beri kesedaran kenal isi al-Quran

SEREMBAN - Program World #Quran Hour yang diadakan setiap tahun mampu memberi kesedaran kepada masyarakat Islam untuk mengenal isi kandungan al-Quran.

Penolong Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Ahmad Najib Jalal berkata, walaupun program itu hanya mengambil masa selama satu jam untuk membaca al-Quran secara serentak, tetapi impaknya besar.

"Saya tengok mesej utamanya adalah memberi kesedaran kepada masyarakat untuk lebih mengenal al-Quran.

Peserta World #QuranHour peringkat Negeri Sembilan yang diadakan di Masjid Negeri, Seremban.
Peserta World #QuranHour peringkat Negeri Sembilan yang diadakan di Masjid Negeri, Seremban.

"Ini kerana kita bukan sekadar membacanya, tetapi turut diadakan sesi tadabbur yang boleh memberi kefahaman tentang maksudnya. Pada masa sama kita boleh mengambil pengajaran daripadanya," katanya ditemui selepas program World #QuranHour 2026 Peringkat Negeri Sembilan di Masjid Negeri di sini pada Rabu.

Jelasnya, apabila memahami isi kandungannya, ia dapat membuatkan setiap orang lebih berminat menghayati al-Quran sekali gus mempraktikan dalam kehidupan seharian.

Beliau memberi contoh Surah al-Muzzammil yang membawa pengajaran tentang kekuatan dalaman diri setiap individu yang boleh mengubah dunia.

"Al-Quran ini ada roh yang bukan saja menjadi pembantu kepada kita di dunia, tapi juga di akhirat nanti.

"Sebab itulah, jadikan al-Quran ini sebagai sahabat yang dapat membimbing kita ke jalan yang betul dan membuatkan kehidupan kita lebih positif," katanya.

Sementara itu, peserta program, Sharul Bariah Mohd Idris,46 berkata, program berkenaan dapat memupuk semangat cintakan al-Quran.

Ujarnya, dengan cabaran dunia hari ini perlunya umat Islam berdamping dengan al-Quran yang secara tidak langsung dapat membentuk jiwa mereka menjadi lebih baik.

Guru Kelas Agama Fardu Ain Daerah Tampin, Ezliza Yahaya, 45 pula berkata, penganjuran program itu dapat mendidik anak-anak membudayakan pembacaan al-Quran dalam kehidupan seharian.

"Bagi saya, eloklah diadakan secara berterusan kerana kita bukan saja diajak membacanya tetapi juga memahami isi kandungannya,"katanya.

Sementara itu, lebih 1,000 peserta yang menyertai program berkenaan yang kali ke-11 dianjurkan.

Turut diadakan Pelancaran Kempen 'Family Pledge' yang merupakan satu inisiatif mengumpul dana bagi membantu keluarga Palestin yang

Kempen berkenaan dianjurkan oleh Global Women Coalition for Al-Quds and Palestine (GWCQP) dengan kerjasama Malaysian Women Coalition for AI-Quds and Palestine (MWCQP).

Melalui kempen ini, masyarakat diseru menzahirkan solidariti dengan konsep 'Satu keluarga di Malaysia membantu satu keluarga di Palestin'.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!