Lebih 700 masjid di Perak anjur World #QuranHour

Mohd Zahidi (tengah) bersama tetamu dan peserta yang hadir menunjukkan plakad World #QuranHour selepas selesai program berkenaan di Masjid Negeri Perak di sini pada Rabu.
Mohd Zahidi (tengah) bersama tetamu dan peserta yang hadir menunjukkan plakad World #QuranHour selepas selesai program berkenaan di Masjid Negeri Perak di sini pada Rabu.
A
A
A

IPOH – Lebih 700 masjid di seluruh Perak menganjurkan program World #QuranHour secara serentak pada Rabu bagi menyemarakkan penghayatan al-Quran dalam kalangan umat Islam sepanjang Ramadan.

Difahamkan, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengeluarkan pekeliling kepada semua masjid di negeri ini bagi penganjuran program yang turut dilaksana di seluruh negara.

Program peringkat negeri berlangsung di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak) di sini dengan penyertaan kira-kira 2,000 peserta melibatkan pelbagai agensi kerajaan, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti Rumah Ngaji.

Tetamu Kehormat, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Mohd Zahidi Zainuddin berkata, penganjuran program tersebut merupakan inisiatif yang amat menggalakkan kerana mampu merapatkan umat Islam dengan al-Quran melalui bacaan, penghayatan dan pemahaman ayat suci.

Dari kiri: Khairudin, Mohd Zahidi, Abdul Farid dan Aiman Ridhwan turut bersama-sama membacakan ikrar sempena program World #QuranHour Peringkat Negeri Perak di Masjid Sultan Idris Shah II di sini pada Rabu.
Dari kiri: Khairudin, Mohd Zahidi, Abdul Farid dan Aiman Ridhwan turut bersama-sama membacakan ikrar sempena program World #QuranHour Peringkat Negeri Perak di Masjid Sultan Idris Shah II di sini pada Rabu.

Menurutnya, kehadiran orang ramai yang memenuhi masjid membuktikan sambutan yang baik terhadap usaha memperkasakan penghayatan al-Quran.

"Majlis ini berlangsung dengan begitu tertib dan saya berharap program seperti ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang.

"Selain itu, pihak masjid turut menyediakan bubur lambuk kepada para peserta sebagai salah satu inisiatif mengimarahkan Ramadan,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut berharap umat Islam di Perak mengambil peluang pada penghujung Ramadan untuk menambah amalan dan mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Sementara itu, Pengerusi Rumah Ngaji Perak, Robaatun Hadayiah Harun berkata, kehadiran peserta pada program tersebut mencapai sasaran ditetapkan iaitu seramai 2,000 orang.

Menurutnya, kelainan penganjuran kali ini adalah pengisian khatam al-Quran yang dilaksanakan sepanjang program berlangsung.

Robaatun Hadayiah menyampaikan cenderahati kepada Abdul Farid sempena program World #QuranHour Peringkat Negeri Perak di Masjid Sultan Idris Shah II di sini pada Rabu.
Robaatun Hadayiah menyampaikan cenderahati kepada Abdul Farid sempena program World #QuranHour Peringkat Negeri Perak di Masjid Sultan Idris Shah II di sini pada Rabu.

"Program ini turut mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang sentiasa menyokong usaha memartabatkan al-Quran di negeri ini," katanya.

Pada majlis itu, bacaan ayat suci al-Quran diperdengarkan oleh qari antarabangsa, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan manakala sesi tadabbur dipimpin oleh Mohd Jamil Abdul Wahab.

Turut hadir Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah; Imam Besar Masjid Negeri Perak, Abdul Farid Salleh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin serta bekas Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Ringkasan AI

  • Lebih 700 masjid di seluruh Perak menganjurkan program World #QuranHour secara serentak selama Ramadan
  • Program peringkat negeri ini diadakan di Masjid Sultan Idris Shah II dengan penyertaan kira-kira 2,000 peserta
  • Inisiatif ini bertujuan untuk merapatkan umat Islam dengan al-Quran melalui bacaan, penghayatan dan pemahaman
  • Majlis dilaksanakan dengan tertib dan peserta diberi bubur lambuk sebagai inisiatif mengimarahkan Ramadan
  • Program ini mendapat sokongan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan mencapai sasaran kehadiran peserta

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!