Masjid di Perak laksana program kelestarian alam sekitar, keterjaminan makanan

IPOH – Masjid-masjid di Perak akan dijadikan platform pelaksanaan program kelestarian alam sekitar, pendidikan kesihatan dan keterjaminan makanan sebagai usaha mengimarahkan institusi itu serta memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan susulan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menekankan tiga perkara utama ketika pelantikan ahli-ahli majlis MAIPk sebelum ini.
Menurutnya, perkara itu melibatkan aspek kelestarian alam sekitar, pengimarahan masjid melalui program pendidikan, keterjaminan makanan serta kesihatan, selain menarik lebih ramai golongan muda mendekati masjid.
"Susulan itu, kita memutuskan bahawa dalam tempoh tiga bulan akan datang sekurang-kurangnya dua masjid di setiap daerah dijadikan pusat aktiviti mengitar semula barangan buangan seperti pakaian terpakai dan sisa lain.
"Kita juga menetapkan KPI (petunjuk prestasi utama) kepada JAIPk (Jabatan Agama Islam Perak) supaya pelaksanaan program ini dapat dijalankan dengan lebih tersusun,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas Persidangan MAIPk kali ke-235 di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini pada Jumaat.
Hadir sama dalam sidang akhbar itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh; Pengarah Alam Sekitar Perak, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh dan Pengarah Jabatan Pertanian Perak, Norsiyenti Othman.
Mohd Annuar berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak turut memperuntukkan dana bagi melaksanakan program kelestarian alam sekitar di 60 masjid, selain MAIPk bersetuju menambah jumlah itu kepada 120 masjid secara keseluruhan.
Katanya, program tersebut bertujuan mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab dalam pengurusan sisa termasuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna serta mengamalkan kitar semula.
Sementara itu beliau berkata, titah Sultan Perak turut menekankan aspek kesihatan dengan menyarankan supaya masjid mengubah amalan jamuan yang lazimnya diadakan selepas solat Isyak kepada sebelum waktu Maghrib.
Menurutnya, langkah itu dilihat lebih sesuai dari segi kesihatan memandangkan pengambilan makanan lewat malam boleh memberi kesan kepada proses penghadaman dan meningkatkan risiko obesiti.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelbagai program turut dirancang bagi menarik penyertaan golongan muda termasuk aktiviti sukan elektronik (e-sukan) yang akan dilaksanakan oleh badan belia.
Sementara itu, Norsiyenti berkata, Jabatan Pertanian Perak meneruskan program keterjaminan makanan di masjid yang kini memasuki tahun ketiga pelaksanaan.
Menurutnya, sekurang-kurangnya satu masjid di setiap daerah akan melaksanakan projek pertanian seperti penanaman betik dengan sokongan penuh jabatan termasuk penyediaan benih, sistem pengairan dan khidmat nasihat teknikal.
"Selain itu kita memperkenalkan projek baharu penanaman cendawan dengan penyediaan set lengkap rumah cendawan dan bongkah benih.
"Tahun ini kita sasarkan 12 masjid melaksanakan projek tersebut dan jumlah sama pada tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata, program itu turut melibatkan murid sekolah rendah bagi memupuk minat terhadap aktiviti pertanian selain menggalakkan mereka mendekati masjid.
Dalam perkembangan sama, Mohammad Ezanni berkata, masjid juga digalakkan menjana pendapatan sendiri melalui pengumpulan dan penjualan sisa kitar semula seperti sisa elektrik dan elektronik (e-waste), minyak masak terpakai, kertas serta plastik.
Menurutnya, pengalaman melibatkan 20 masjid sebelum ini menunjukkan hasil jualan sisa tersebut mampu menambah dana tabung masjid.
"Melalui pendekatan ini, ahli kariah boleh membawa barangan rosak seperti bateri kereta, televisyen atau peralatan elektrik yang tidak lagi digunakan ke masjid untuk dikumpulkan sebelum dijual kepada kontraktor berlesen.
"Selain membantu menjana pendapatan masjid, langkah ini juga dapat mengurangkan pembuangan sisa secara haram dan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar,” katanya.
Ringkasan AI
- Masjid di Perak akan jadi platform program kelestarian alam sekitar, pendidikan kesihatan dan keterjaminan makanan
- Inisiatif ini dilaksanakan mengikut titah Sultan Perak dan bertujuan menarik golongan muda mendekati masjid
- Dalam tiga bulan, sekurang-kurangnya dua masjid di setiap daerah akan jadi pusat aktiviti kitar semula
- Jabatan Alam Sekitar Perak memperuntukkan dana untuk program kelestarian alam sekitar di 120 masjid
- Program ini juga melibatkan pelajar sekolah rendah untuk memupuk minat dalam aktiviti pertanian dan mendekati masjid
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

