Perak teliti semua aspek bawa pulang Dara, Amoi, Kelat

Kerajaan Perak akan meneliti secara menyeluruh isu melibatkan pemindahan tiga ekor gajah dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat dari Tennoji Zoo, Jepun.
Kerajaan Perak akan meneliti secara menyeluruh isu melibatkan pemindahan tiga ekor gajah dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat dari Tennoji Zoo, Jepun.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak akan meneliti secara menyeluruh isu melibatkan pemindahan tiga ekor gajah dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat dari Tennoji Zoo, Jepun sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan yang dikeluarkan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berhubung perkara berkenaan.

Menurutnya, kerajaan negeri juga tidak memandang ringan keprihatinan pelbagai pihak yang memberi perhatian terhadap isu terbabit khususnya berkaitan kebajikan haiwan.

“Kerajaan negeri sentiasa komited dalam memastikan aspek kebajikan haiwan diberi perhatian sewajarnya.

“Pada masa ini, satu perjumpaan telah diaturkan bersama beberapa pihak berkepentingan termasuk pemimpin tertinggi bagi meneliti perkara ini secara lebih menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, perbincangan tersebut dijadual berlangsung pada awal minggu hadapan dan dijangka melibatkan pelbagai agensi serta pihak berkaitan.

Tambahnya, satu kenyataan lebih lengkap akan dikeluarkan selepas sesi perbincangan berkenaan bagi menjelaskan pendirian serta tindakan susulan kerajaan negeri.

Media sebelum ini melaporkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menggesa Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) segera memulakan rundingan dengan Tennoji Zoo Osaka (ZTO) bagi menilai mekanisme membawa pulang tiga gajah Asia itu.

Jelas Arthur, kementerian itu tidak terlibat sebagai pihak dalam perjanjian pemindahan haiwan tersebut dan perjanjian berkenaan dibuat secara langsung antara ZTNS dan ZTO melalui kaedah perniagaan dengan perniagaan (B2B) oleh pentadbiran terdahulu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Wan Rosdy turut mengeluarkan kenyataan menggesa pihak ZTNS mengambil tindakan segera membawa pulang ketiga-tiga gajah yang kini ditempatkan di ZTO.

Beliau turut mencadangkan supaya ketiga-tiga gajah itu wajar dibawa pulang dan ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Temerloh yang disifatkan lebih sesuai dengan habitat serta keperluan semula jadi haiwan berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!