Lonjakan kehadiran pengunjung, infrastruktur Pasar Pagi Sungai Bayor dipertingkat

Sze Yee (kiri) bersama Nor Akmal menyantuni para peniaga sempena Program Santai Media@Pasar Pagi Sungai Bayor pada Jumaat.
Sze Yee (kiri) bersama Nor Akmal menyantuni para peniaga sempena Program Santai Media@Pasar Pagi Sungai Bayor pada Jumaat.
A
A
A

LARUT – Pembangunan infrastruktur di Pasar Pagi Sungai Bayor, Selama akan terus dipertingkatkan bagi memastikan kawasan itu kekal berdaya saing sebagai tarikan pelancongan luar bandar.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, peningkatan mendadak jumlah pengunjung khususnya selepas menerima pengiktirafan sebagai pasar pagi terpanjang di Malaysia, menuntut keperluan tersebut.

Menurutnya, berdasarkan rekod, pasar sepanjang kira-kira 2.32 kilometer itu merekodkan kehadiran pengunjung daripada kira-kira 2,500 kepada 3,500 orang setiap minggu dan boleh mencecah 5,000 orang pada musim cuti sekolah serta perayaan.

“Buat masa ini, Majlis Daerah Selama (MDS) menyediakan tandas sementara bagi menampung kehadiran pengunjung. Perancangan sedang dibuat untuk membina tandas awam yang lebih lengkap serta mercu tanda di pasar pagi ini.

Perancangan sedang dibuat untuk membina tandas awam yang lebih lengkap di Pasar Pagi Sungai Bayor di bawah seliaan MDS.
Perancangan sedang dibuat untuk membina tandas awam yang lebih lengkap di Pasar Pagi Sungai Bayor di bawah seliaan MDS.

“Sebagai langkah jangka panjang, pihak majlis juga dalam proses memohon peruntukan bagi penyediaan kawasan parkir bagi mengelakkan kesesakan serta gangguan kepada penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Program Santai Media@Pasar Pagi Sungai Bayor di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Yang Dipertua MDS, Nor Akmal Yang Ghazali dan Pengerusi Pasar Pagi Sungai Bayor, Mohammad Ezaiyuhan Awang.

Artikel Berkaitan:

Sze Yee (tengah) di hadapan laluan masuk pasar sempena Program Santai Media@Pasar Pagi Sungai Bayor pada Jumaat.
Sze Yee (tengah) di hadapan laluan masuk pasar sempena Program Santai Media@Pasar Pagi Sungai Bayor pada Jumaat.

Sze Yee berkata, setakat ini sebanyak RM250,000 telah diperuntukkan bagi kerja penyelenggaraan pasar berkenaan.

Katanya, jumlah itu adalah sebahagian daripada keseluruhan RM4.55 juta yang disalurkan kerajaan bagi pembangunan pelancongan di kawasan Selama.

“Tarikan utama Pasar Pagi Sungai Bayor ialah keaslian suasana kampung yang masih dikekalkan hingga menarik bukan sahaja pengunjung tempatan, malah pelancong dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Pantai Timur.

“Berbeza dengan tempat lain yang telah mengalami pemodenan, di sini pengunjung masih dapat merasai pengalaman kampung yang asli, yang menjadi daya tarikan utama,” katanya.

Pada September tahun lalu, pasar berkenaan mencatat sejarah apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai pasar pagi terpanjang di negara ini dengan hampir 500 peniaga atau penjaja kecil dari sekitar Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Pengiktirafan itu sekali gus mengatasi rekod terdahulu yang dipegang oleh Pasar Pagi Temerloh di Pekan Sehari Temerloh, Pahang sepanjang 2.1 kilometer.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!