Permintaan lembu korban meningkat 10 peratus

KUALA KANGSAR - Permintaan terhadap lembu korban di Perak dijangka meningkat kira-kira 10 peratus tahun ini, kata Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun.
Beliau berkata, setakat ini Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak telah meluluskan 94 Permit Sembelihan Luar (PSL) bagi tujuan ibadah korban, berbanding 75 premis pada tahun sebelumnya.
"Jumlah ini menunjukkan peningkatan dan dijangka bertambah kira-kira 10 peratus pada tahun ini," katanya ketika ditemui dalam program Jelajah Sejahtera Desaku@DUN Chenderoh di Dewan Arena Terbuka, Kampung Chuar Hulu di sini.
Hadir sama, Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderoh, Datuk Mohamad Ariff Abdul Majid.
Mohd Zolkafly memberi jaminan, bekalan lembu adalah mencukupi bagi memenuhi keperluan tersebut walaupun ketika ini berlaku sedikit kenaikan kos yang dijangka memberi kesan kepada harga.
Menurutnya, peningkatan kos itu antaranya berpunca daripada harga diesel yang memberi impak kepada kos pengangkutan sekali gus menyebabkan harga lembu korban naik sedikit berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Ada sedikit kenaikan kos disebabkan harga diesel yang agak tinggi dan melibatkan pengangkutan.
“Ini akan menyebabkan kenaikan sedikit harga lembu berbanding harga asal sebelum ini, namun saya percaya ibadah korban tetap dapat dilaksanakan dengan baik tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Mohd Zolkafly berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sentiasa bersedia membantu petani, penternak dan nelayan memasarkan hasil mereka.
Katanya, kerjasama antara agensi itu penting terutama dalam menghadapi cabaran semasa termasuk ketidaktentuan ekonomi.
“Setakat ini tiada rungutan, namun jika ada masalah, Jabatan Pertanian dan FAMA bersedia membantu.
“Kerajaan negeri sentiasa bersama petani dan pengusaha bagi memastikan hasil pertanian dapat dipasarkan dengan baik,” katanya.
Mengulas mengenai pematuhan reban ayam tertutup, beliau berkata, penternak diberi tempoh sehingga 31 Disember ini untuk menaik taraf reban terbuka kepada sistem tertutup sebelum penguatkuasaan bermula 1 Januari 2027.
“Jika masih ada reban terbuka selepas tempoh itu, tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Kita telah maklumkan perkara ini lebih awal, jadi penternak sepatutnya sudah bersedia. Tiada lagi alasan untuk melengah-lengahkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

